LENGGONG: Kemunculan gajah liar yang merosakkan tanaman dan berkeliaran dekat dengan rumah penduduk di sekitar Kampung Chepor di sini menimbulkan kebimbangan mereka berhubung risiko keselamatan.
Seorang penduduk, Izwan Muhizzin Shaari berkata, kehadiran mamalia yang berani masuk hingga ke pekarangan rumah itu membuatkan dia dan keluarga ketakutan sehingga tidak dapat tidur lena.
Malah katanya, untuk tujuan keselamatan, dia terpaksa membuat ‘persediaan’ dengan menyediakan mercun bagi menghalau haiwan itu sekiranya berada terlalu hampir dengan rumah.
“Kehadiran gajah liar ini amat menggusarkan kerana haiwan ini tidak takut apa-apa termasuk manusia. Jika pasang lampu pun tidak memberi kesan, malah ada rumah penduduk yang runtuh disebabkan gajah.
“Sekiranya terdengar haiwan itu bertempik, kami sekeluarga akan duduk diam tidak berbuat apa-apa tapi apabila gajah ini terlampau dekat dengan rumah, saya terpaksa baling mercun supaya haiwan itu beredar.
“Setiap malam kami berhati-hati dan ada kalanya hanya tidur-tidur ayam sahaja,” katanya ketika ditemui di lokasi pemindahan gajah di Felcra Stang, Kampung Chepor di sini hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Fudzali Chek Harun berkata, kehadiran kumpulan gajah liar di kampung berkenaan menyebabkan penduduk lebih berhati-hati setiap kali turun ke kebun.
“Kampung di sini memang sinonim dengan gajah yang sering menghampiri kawasan kebun dan penempatan penduduk untuk mencari makan.
“Kebun pisang, kelapa sawit, tebu dan pokok getah merupakan sumber ekonomi penduduk di sini. Apabila tanaman dimusnahkan, penduduk mengalami kerugian mencecah puluhan ribu ringgit,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, pihaknya berjaya menangkap seekor gajah jantan dianggarkan berusia 18 tahun di Kampung Bukit Labu di sini, Khamis lalu.
Katanya, gajah yang ditangkap pada pukul 2 petang itu merupakan sebahagian daripada kumpulan ID Piah yang dilaporkan mula menghampiri kampung tersebut.
“Meskipun ada tangkapan, kawalan tetap dilaksanakan berikutan kumpulan gajah ini dikesan di kawasan berhampiran dan tidak mustahul ada tangkapan lagi,” katanya.
Menurut beliau, operasi translokasi gajah akan dilaksanakan pada Rabu depan dengan bantuan kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Pahang. – UTUSAN