KUALA TERENGGANU: Penduduk di 43 buah kampung yang terletak berhampiran 12 muara sungai di Terengganu dinasihatkan berwaspada dengan risiko banjir berikutan fenomena air pasang besar yang dijangka berlarutan hingga Khamis ini.
Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, Ir. Osman Abdullah berkata, semua kampung tersebut berisiko dilanda banjir sekiranya hujan lebat berlaku serentak dengan kejadian air pasang.
Katanya, kampung yang berisiko banjir di Kuala Nerus ialah Kampung Baru Seberang Takir; Seberang Takir, Ulu Takir, Pak Tuyu, Tanjung Gelam, Pulau Rusa, Pulau Sekati dan Kampung Pulau Ketam.
Selain itu, beliau berkata, tiga kampung dijangka terjejas di daerah Kuala Terengganu pula ialah Kampung Kubang Ikan, Kuala Ibai dan Taman Purnama.
“Di daerah Dungun pula, kawasan dikenal pasti berisiko ialah Kampung Seberang Pintasan, Teluk Bidara, Tanjung Jara, Che Lijah, Alor Makbah, Bijangga, Sungai Udang dan Kampung Sungai Buaya.
“Lokasi lain di Dungun ialah Kampung Kuala Paka, Kampung Tebing Tembah, Kampung Kampung Pinang Merah dan Kampung Durian Mentangau dan Kampung Sura,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Di daerah Besut pula, lokasi berisiko ialah Kampung Pengkalan Atap, Kampung Teluk Budu, Kampung Pantai dan Kampung Nail dijangka berisiko dinaiki air.
Menurutnya, di daerah Marang terdapat lima lokasi berisiko dinaiki air iaitu Kampung Rusila, Rhu Dua, Rhu Rendang, Merchang dan Kampung Baru Pulau Rusa.
“Di daerah Setiu pula ialah Kampung Gong Batu, Kampung Pengkalan Gelap, Kampung Limau Nipis, Kampung Kuala Setiu, Kampung Fikri dan Kampung Telaga Papan.
“Di Kemaman, kita kenal pasti empat kawasan iaitu Kampung Baru Kemasik, Pulau Skepeng Kuala Kemaman, Pengkalan Cicar Bukit Kuang dan Kampung Bakau Tinggi,” katanya.
Kelajuan angin dijangka sekitar 25 kilometer sejam (km/j) dan ketinggian ombak pula dijangka lebih tiga meter. – UTUSAN