ARAU: Pendapatan pesawah dijangka susut sehingga 70 peratus dengan pesawah yang menyewa paling teruk terkesan sekiranya harga belian padi menjunam sehingga paras lantai iaitu RM1,300 per tan metrik.
Seorang pesawah yang menyewa, Idris Ali, 53, berkata, kos sewa bendang bagi keluasan lapan hektar diusahakannya mencecah sehingga RM28,000, manakala kos penanaman pula mencecah sehingga RM20,000.
Katanya, sekiranya harga belian padi menjunam kepada RM1,300, pesawah yang menyewa akan mengalami kesan paling teruk dengan kebanyakan kos semasa yang meningkat.
“Harga belian pada RM1,300 amat menjejaskan berikutan kenaikan kos. Kami yang menyewa amat terkesan dengan pendapatan dijangka susut sehingga 70 peratus.
“Jika harga belian padi RM1,800 dan apabila dicampur subsidi, dapat juga menikmati keuntungan bersih RM1,000 per tan metrik, namun bila turun sehingga RM1,300, bayangkanlah pendapatan kami,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.
Lebih 200 pesawah dari kawasan Parlimen Arau terbabit menyerahkan memorandum menuntut kenaikan harga lantai belian padi RM1,800 kepada Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, yang akan membawa perkara tersebut kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Difahamkan di negeri ini sahaja seramai 60 peratus pesawah mengusahakan tanaman adalah dalam kalangan mereka yang menyewa.
Bagi anggaran keluasan 0.3 hektar, kos sewaan antara RM700 sehingga RM1,000, manakala pesawah mengusahakan tanaman di kawasan sawah sendiri pula, akan mengalami penyusutan pendapatan sekitar 30 peratus.
Kos mengusahakan bendang pesawah sekitar RM2,038 membabitkan sewa bendang sekitar RM600; kos traktor, RM340; benih padi bagi tiga kampit, RM180; upah mesin padi RM180; upah racun rumput, RM110 selain pelbagai kos lain.
Idris yang mengusahakan tanaman di Behor Mempelam itu memohon kerajaan mendengar rintihan pesawah untuk menaikkan harga lantai belian padi kepada RM1,800 atau sekurang-kurangnya RM1,600 supaya mereka boleh ‘bernafas’.
Pesawah, Hamzah Husin, 69, mendedahkan kehidupan kebanyakan pesawah amat sukar, namun tiada pilihan dan terpaksa meneruskan kehidupan dengan mengusahakan tanaman padi sebagai sumber rezeki.
Katanya, jika harga belian padi tinggal RM1,300, kehidupan pesawah akan semakin sukar dalam menampung perbelanjaan seharian.
“Kami membanting tulang siang dan malam, tapi pendapatan tidak seberapa, saya berharap kerajaan mengambil perhatian serius rayuan pesawah yang bukan sahaja di Perlis tetapi seluruh negara yang sememangnya amat terjejas dengan isu harga ini,” katanya.
Sementara itu, Shahidan menggesa kerajaan serius mendengar tuntutan pesawah untuk menaikkan harga lantai belian padi kepada RM1,800 malah berjanji akan memanjangkan isu berkenaan kepada menteri berkenaan. – UTUSAN