Pendakwaan semula wanita rempuh pelajar UiTM 20 Februari

Pendakwaan semula wanita rempuh pelajar UiTM 20 Februari

NORIZAN Ismail (kiri) dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Dungun, Terengganu, hari ini. -UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN : Mahkamah Majistret di sini, hari ini menetapkan 20 Februari ini sebagai tarikh pendakwaan semula wanita yang sebelum ini dituduh melanggar tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, hingga maut pada Oktober lalu.  

Majistret Nur Amira Fatihah Osman membuat keputusan itu selepas menerima permohonan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azhani Azman pada prosiding sebutan untuk laporan psikiatri tertuduh, Norizan Ismail, 50, hari ini. 

Nur Azhani ketika prosiding itu berkata, berdasarkan laporan psikiatri yang diterima dari Hospital Permai, Johor, pihaknya percaya tertuduh layak dibicarakan. 

“Dengan izin Puan (Majistret), bagi kes ini, saya percaya tertuduh layak dibicarakan dan memberi pengakuan. Oleh itu, pihak pendakwaan memohon satu tarikh untuk izin dakwa dan nota taklimat serta satu tarikh untuk izin dakwa untuk kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi (Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu),” katanya. 

Ketika prosiding tersebut, tertuduh dilihat bingung selain tidak mengingati nombor kad pengenalannya ketika ditanya jurubahasa. 

Pada 15 Okt lepas, Norizan didakwa atas tiga pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana disyaki melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian tiga penuntut UiTM Dungun iaitu Muhammad Akmal Md Tukirin, 25; Ku Adib Aizad Ku Azmi dan Khairil Anuar Jamaluddin masing-masing berusia 20 tahun ketika itu. 

Nur Amirah Fatihah memutuskan supaya ibu kepada tiga anak itu dihantar ke Hospital Permai untuk menjalani rawatan psikiatri. 

Dalam kejadian pada 9 Oktober lepas, Norizan yang memandu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CRV  telah merempuh empat pelajar UiTM hingga menyebabkan tiga daripada pelajar itu maut manakala seorang lagi, Muhammad Ammar Danish Mohamad Ridhuan, 21,cedera.

Selain tiga pertuduhan itu, Norizan sebelum ini turut dituduh di bawah Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu kerana cubaan membunuh hingga menyebabkan kecederaan ke atas Muhammad Ammar Danish.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya