KUALA LUMPUR: Gara-gara mencuri coklat sebagai hadiah hari lahir adiknya, seorang penganggur diperintah berkelakuan baik selama setahun oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.
Majistret Farah Nabihah Muhammad Dan membuat keputusan itu setelah tertuduh, Mohd. Safwan Abdul Samad, 29, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan, Mohd. Safwan telah mencuri 12 peket coklat jenama Cadbury sekitar pukul 9.15 malam, 20 Januari lalu di sebuah kedai serbaneka di Pasar Seni di sini.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan juga boleh dikenakan denda.
Timbalan Pendakwa Raya, Amritpreet Kaur Randhawa mencadangkan hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran.
Bagaimanapun, tertuduh merayu dikenakan hukuman minimum kerana dia tidak bekerja.
“Saya mencuri coklat itu untuk dihadiahkan kepada adik sempena hari lahir. Saya insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu lagi. Dimohon agar mahkamah mengenakan hukuman yang paling ringan,” katanya.
Menurut fakta kes, pengadu melihat seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di sebuah kedai serbaneka dan dilihat ke bahagian jualan coklat.
Menerusi rakaman kamera litar tertutup pengadu mendapati lelaki tersebut mengambil kira-kira 12 peket coklat sebelum berlari keluar dari kedai. Pengadu segera menghubungi polis bantuan dan lelaki berkenaan berjaya ditahan di kawasan berhampiran.-UTUSAN.