Pemasangan lampu sepanjang lebuh raya tingkatkan kos awalan pembinaan

Pemasangan lampu sepanjang lebuh raya tingkatkan kos awalan pembinaan

lebuh raya
Pemasangan lampu jalan dan lampu limpah di setiap Persimpangan Bertingkat, Kawasan Rehat & Rawat, Hentian Sebelah dan Plaza Tol WCE telah dilaksanakan di sepanjang lebuhraya dengan kadar pencahayaan yang telah ditetapkan untuk menjamin keselamatan semua pengguna terutama di waktu malam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cadangan pemasangan lampu di sepanjang lebuh raya akan meningkatkan kos awalan pembinaan dan penyelenggaraan.

Ketua Operasi Lebuhraya West Coast Expressway Sdn. Bhd. (WCE), Syed Muhd. Naguib Syed Mohd. berkata, sekiranya lampu di pasang di sepanjang lebuh raya sudah tentu ada kesan kepada kos awalan pembinaannya.’

“Bagaimanapun, WCE sentiasa membuat kajian bersama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat konsesi lain untuk idea pemasangan lampu solar dan ada juga beberapa pihak yang sudah mula memasang lampu solar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, kerja menaik taraf lampu jalan di sepanjang lebuh raya dan penyusunan semula papan tanda di plaza tol perlu disegerakan bagi mengawal kadar kemalangan.

Mengulas lanjut, Syed Muhd. Naguib berkata, pemasangan lampu jalan di sepanjang Lebuhraya bagi kawasan luar bandar amnya akan meningkatkan kos awalan pembinaan lebuhraya tersebut di mana ianya melibatkan penyediaan infra bekalan kuasa elektrik yang baru, material, kos operasi dan penyelenggaraan sesebuah lebuhraya. Skop pemasangan lampu jalan telahpun ditetapkan semasa proses rekabentuk lebuhraya berdasarkan factor keselamatan dan kos.

Katanya, meskipun pemasangan lampu di sepanjang lebuh raya mungkin tidak meliputi semua kawasan terutama kawasan antara bandar, WCE telah mengambil beberapa inisiatif penting.

Menurutnya, terdapat juga langkah keselamatan lain yang diambil kira bagi memastikan lebuh raya mereka selamat untuk pengguna jalan raya.

“Kami juga menyediakan 52 tempat motosikal berlindung di kawasan luar bandar dilengkapi lampu solar bagi memberi keselesaan kepada penunggang motosikal untuk berteduh ketika hujan. Inisiatif ini penting kerana kami tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada bekalan elektrik tradisional di kawasan tersebut.

“Beberapa langkah keselamatan lain turut diambil oleh WCE termasuk penyediaan 32 unit kamera litar tertutup dan 20 unit tambahan akan datang di plaza tol untuk pemantauan secara langsung serta peronda lebuh raya 24 jam yang akan memberi bantuan kecemasan kepada pengguna lebuh raya yang memerlukan,” katanya.

Untuk makluman bagi Lebuhraya WCE, pemasangan lampu jalan dan lampu limpah di setiap Persimpangan Bertingkat, Kawasan Rehat & Rawat, Hentian Sebelah dan Plaza Tol telah pun dilaksanakan di sepanjang lebuhraya dengan kadar pencahayaan yang telah ditetapkan untuk menjamin keselamatan semua pengguna terutama di waktu malam.

Bagi pihak Lebuhraya WCE, pemasangan sistem perlampuan menggunakan tenaga solar masih lagi dalam peringkat kajian dan boleh dipertimbangkan dengan mengambil kira kos pemasangan dan penyelenggaraan serta keberkesanaan di masa hadapan.

Bagi pakar keselamatan jalan raya, Prof. Madya Dr. Munzilah Md. Rohani pula, lampu jalan yang mencukupi adalah elemen penting bagi memastikan pemandu dapat melihat dengan jelas dan mengelak bahaya di hadapan mereka, terutama pada waktu malam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN