PETALING JAYA: Pemuda Pas ingin bertemu dan mengajar selebriti Harith Iskander soal halal serta haram yang menjadi selepas pelawak itu memuat naik hantaran jenaka membabitkan ‘ham’ hingga mencetuskan perasaan tidak senang umat Islam.
Ketuanya, Adnan Hamimi Taib Azamudden berkata, soal halal dan haram adalah suatu batas yang perlu dijaga memandangkan ia adalah hak mutlak Allah dalam menentukan halal serta haram terhadap sesuatu perkara.
Katanya, tiada makhluk yang boleh mempersoalkan ketentuan dibuat oleh Allah
“Memandangkan hantaran Harith terus mengundang polemik dan tiada hantaran susulan yang meredakan serta mengharmonikan, Pemuda Pas melihat keperluan untuk memahamkannya tentang asas isu ini dibangkitkan oleh umat Islam di Malaysia.
“Oleh itu, Pemuda Pas sangat teruja sekiranya dapat bertemu, mendengar pendapat dan bertukaran fikiran jika saudara Harith Iskander sudi bertemu serta berbincang berkenaan perihal ini,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Harrith melalui hantaran di akaun Facebook memuat naik gambar secawan Ham Sap Kopi dengan kapsyen yang mencetuskan pelbagai komen dalam kalangan orang ramai.
Sebelum ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dilaporkan akan memanggil Harith bagi mendapatkan perincian berhubung isu kontroversi dikaitkan dengan pelawak tersebut.
Mengulas lanjut, Afnan Hamimi yang juga Ahli Parlimen Alor Setar berkata, Harrith bukan nama kecil di dalam industri hiburan negara.
“Beliau pernah mendapat tempat pertama dalam pertandingan “Funniest Person in the World” yang dianjurkan oleh The Laugh Factory pada tahun 2016.
“Justeru, sesi pertemuan ini pasti membuahkan satu diskusi yang matang dan menarik untuk pengajaran bersama. Semoga saudara Harith Iskander sudi menerima huluran tangan kami,” katanya. – UTUSAN