PASIR PUTEH: Seorang pemuda maut selepas motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan sebelum dilanggar sebuah kereta di Kilometer 23.5 Jalan Melawi-Kuala Besut berhampiran Kampung Dalam Rhu, Semerak, di sini, hari ini.
Dalam kejadian pukul 1 pagi itu, mangsa maut di lokasi selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.
“Keadaan itu menyebabkan kereta jenis Toyota Vios dari arah Besut telah terlanggar mangsa. Mangsa bekerja sebagai buruh disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas cedera parah pada bahagian kepala,” katanya hari ini. – UTUSAN