Pemuda maut disondol babi hutan

Pemuda maut disondol babi hutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Seorang pemuda Orang Asli maut disondol babi hutan selepas lontaran lembingnya ke arah haiwan itu tersasar di Kampung Bertang Lama, Pos Sinderut, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, Balai Polis Sungai Koyan menerima laporan daripada seorang pengadu memaklumkan rakannya cedera diserang haiwan itu dalam kejadian pada pukul 1 petang semalam.

Katanya, pemuda yang meninggal dunia, Johan Yok Boi, 25, bersama lima rakan masuk memburu babi hutan di kawasan ladang sawit Lombong Selinsing kira-kira pukul 10  pagi.

“Ketika menghendap dan nampak haiwan berkenaan, Johan cuba  mendekati dan terus melontar lembing ke arah babi berkenaan, tetapi tidak mengena sasaran.

“Sebaliknya,  haiwan liar itu mengamuk dan menyerang Johan yang mengakibatkannya cedera parah di bahagian paha akibat ditusuk taring babi,” katanya di Ibu pejabat Polis Lipis di sini hari ini.

Ismail berkata, rakannya membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Sungai  Koyan untuk menerima rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Lipis dan meninggal dunia pada pukul 5.55 petang semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN