MACHANG: Mayat seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Kelantan di sini kelmarin dijumpai dalam keadaan terapung dan tersangkut pada tiang jambatan baharu dari Kampung Joh di sini ke Belimbing, Tanah Merah dekat sini, hari ini.
Mayat Muhammad Khairul Naeim Che Deraman, 29, ditemukan kira-kira pukul 4.30 petang ini selepas hampir 72 jam operasi mencari lelaki itu dijalankan.
Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Ahmad Shafiki Hussin berkata, mayat itu dijumpai kira-kira 2.5 kilometer dari lokasi mangsa dikatakan terjatuh ke dalam Sungai Kelantan.
“Pemeriksaan pada badan mangsa tidak menemukan sebarang kecederaan. Buat masa ini, tiada sebarang unsur jenayah yang dapat dikaitkan dengan kematiannya. Keluarga lelaki itu sudah membuat pengecaman terhadap mayat berkenaan sebelum dihantar ke Hospital Machang di sini untuk bedah siasat,” katanya hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Kelantan di Kampung Maka, Pulai Chondong di sini kelmarin. – UTUSAN