Pempengaruh warga Singapura didenda RM1,000 buat laporan palsu diculik - Utusan Malaysia

Pempengaruh warga Singapura didenda RM1,000 buat laporan palsu diculik

AMYRA Laila Ho dibawa ke mahkamah atas tuduhan membuat laporan palsu mendakwa dirinya hampir diculik di pusat beli-belah KSL, Taman Abad di Mahkamah Majestret, Johor Bahru disini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang pempengaruh media sosial warga Singapura didenda RM1,000 selepas mengaku salah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membuat laporan palsu kononnya diculik di belakang sebuah pusat beli-belah di sini, minggu lalu.

Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin menjatuhkan hukuman itu terhadap Amyra Laila Ho, 45, selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Inggeris.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara tiga minggu sekiranya gagal membayar denda tersebut. Tertuduh membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Amyra Laila didakwa memberi maklumat palsu kepada anggota polis bertugas di Balai Polis Larkin di sini pada pukul 1.02 pagi, 22 Januari lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama enam bulan atau dikenakan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Fatihah Mohd Nizam manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, Amyra Laila membuat laporan polis mendakwa kononnya telah didatangi dua individu masing-masing seorang lelaki dan wanita ketika berada di belakang sebuah pusat beli-belah di Taman Abad di sini, kira-kira pukul 1 tengah hari, 10 Januari lalu.

Tertuduh kemudiannya memberitahu ditawarkan teh cina sempena perayaan Tahun Baharu Cina sebelum mendakwa dia dipaksa menghidu teh yang dipromosikan sehingga menyebabkannya kebas dan pening kepala.

Wanita itu kemudian tampil membuat satu laporan polis palsu di Balai Polis Larkin di sini pada pukul 1.02 pagi, 22 Januari lalu.

Terdahulu, Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar memaklumkan hasil siasatan dan dapatan bukti-buktik teknikal rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) tiada menunjukkan pergerakkan wanita berkenaan di kawasan terbabit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya