KEMAMAN: Tahanan reman ke atas seorang pempengaruh yang dipercayai mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan dalam laman sosial berhubung kes orang kurang upaya (OKU) kategori ketidakupayaan mental yang dibelasah, disambung dua hari lagi.
Perintah sambungan reman itu dibenarkan Hakim Wan Suhaila Mohd. bagi membolehkan polis melakukan siasatan mengikut Seksyen Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu menakutkan secara jenayah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
Terdahulu, lelaki berusia 36 tahun yang berbaju biru gelap itu tiba kira-kira pukul 10.30 pagi dengan diiringi polis di Mahkamah Sesyen, di sini untuk mendapatkan perintah sambungan reman.
Lelaki itu yang sebelum ini direman dua hari ditahan kira-kira pukul 6.55 pagi semalam di sebuah hotel di Segamat, Johor.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintenden Wan Muhamad Wan Ja’afar, berkata, lelaki itu ditahan selepas pihaknya menerima laporan polis mengenai satu hantaran dalam media sosial dipercayai milik pempengaruh itu yang mengeluarkan kenyataan berbentuk ugutan dan boleh mendatangkan kegusaran awam berkaitan kes OKU yang dipukul.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi pada 17 Januari lalu, seorang lelaki OKU mental, Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47, dibelasah beberapa individu di pagi pagi di Padang Astaka Chukai, di sini, selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar salah sebuah gerai jualan di pasar itu. – UTUSAN