KANGAR: Kerajaan Perlis mengiktiraf dan menghargai usaha pempengaruh media sosial dan anak seni termasuk pemuzik-pemuzik yang banyak membantu mempromosikan negeri ini khususnya bersempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Warisan negeri, Abu Bakar Hamzah berkata, penghargaan berkenaan termasuklah menerusi pemberian imbuhan oleh itu beliau menyeru mereka mendaftar di bawah portfolionya bagi dikenal pasti jumlah pempengaruh dan anak seni di negeri ini.
“Di hujung tahun ini, kami beri pengiktirafan kepada pempengaruh yang banyak membantu mempromosikan negeri sama ada dalam bentuk gambar, video menarik di media sosial yang mampu menarik pelancong ke Perlis. Kami ada kriteria dalam memilih mereka nanti.
“Insya-Allah jika kerajaan negeri tidak ada peruntukan untuk itu, saya akan berusaha cari sendiri bagi memberi pengiktirafan kepada pempengaruh dan anak seni yang membantu mempromosikan pelancongan negeri ini,” katanya pada sesi podcast Singgah Sat di sini, semalam.
Abu Bakar berkata, kerajaan negeri tidak pernah melupakan peranan dimainkan golongan itu dalam membantu mempromosikan pelancongan di Perlis yang kini mula menjadi tumpuan.
Selain itu, katanya, sepanjang tempoh TMPs 2024/2025 ini, peranan media massa di Perlis juga dihargai kerana telah memainkan peranan penting membantu mengenengahkan lokasi-lokasi pelancongan menarik di Perlis.
“Pempengaruh ini juga boleh kita anggap sebagai ‘artis’ dan ikon pelancongan yang memainkan peranan cukup penting. Di tahun akhir TMPs ini, kita berharap pempengaruh media sosial ini akan terus membantu dan berusaha lebih gigih mempromosikan Perlis.
“Apa yang penting, kita perlu terus ‘memecut laju’ bagi capai sasaran lima juta pengunjung datang ke Perlis tahun ini. Kita ingin pastikan TMPs ini berjalan dengan jayanya dan tahun ini juga cukup padat dengan acara pelancongan.
“Lebih istimewa tahun ini juga, kita ada sambutan Jubli Perak bersempena 25 tahun pemerintahan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dengan pelbagai aktiviti dan pengisian menarik,” katanya.-UTUSAN