KUALA LUMPUR: “Sedap suara Hun!”
Demikian reaksi peminat terhadap nyanyian pelakon, Hun Haqeem, menerusi single sulungnya, Untuk Semua Jiwa ciptaan Raiden Koh, XO House dan Amir Firdaus.
Lagu yang juga runut bunyi filem Soloz Game Of Life itu turut menampilkan penyanyi rap dan pelakon, Noki.
Peminat tidak hanya kagum, malah mencadangkan pelakon berusia 27 tahun itu agar menggunakan bakat terpendamnya itu untuk lagu-lagu bergenre rock.
“Hun boleh nyanyi lagu rock,” komen Iena Saiful dalam saluran Youtube sonymusicMYVEVO.
Hun atau nama sebenarnya, Haqeem Hermy menyifatkan pembabitan tersebut sebagai langkah cukup besar untuk karier seninya.
“Projek ini adalah peluang terbaik untuk saya meneroka bidang nyanyian apatah lagi ia adalah runut bunyi untuk filem yang saya lakonkan.
“Saya harap Untuk Semua Jiwa dapat memberi inspirasi kepada pendengar,” kata Hun dalam kenyataan,” dalam kenyataan.
Kata Hun, lagu ini mengandungi mesej penting dan menggambarkan serta simbolik kepada jalan cerita filem yang diarahkan Syafiq Yusof itu.
“Ia tidak hanya menceritakan tentang juara perseorangan, tetapi juga juara untuk semua yang menjadi mesej penting bagi kehidupan,” katanya.
Sementara itu, Noki mengakui Hun berbakat dalam bidang nyanyian dan memberikan sokongan kepada pelakon tersebut agar mengembangkan kebolehannya.
“Saya gembira untuk Hun kerana dia mempunyai vokal serak-serak basah.
“Dia perlu mengembangkan cabang seninya dalam bidang muzik pula,” katanya dalam kenyataan sama.
Lagu tersebut boleh distrim menerusi Apple Music, Spotify dan YouTube Music manakala muzik videonya akan ditayangkan dalam saluran Youtube sonymusicMYVEVO dalam masa terdekat.