PUTRAJAYA: Kes perbicaraan melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut menarik kehadiran ramai pemimpin pembangkang bagi memberi sokongan.
Antaranya Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin serta kedua-dua Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad dan Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Turut hadir Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Ketua Penerangan parti itu, Ahmad Fadhli Shaari; Ahli Jawatankuasa Kerjanya, Nik Abduh Nik Aziz serta Pengarah Pilihan Raya Pas dan Perikatan Nasional, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Noor.
Juga datang bagi memberi sokongan ialah Pengerusi Perikatan Nasional Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan bekas timbalan menteri, Datuk Dr. Ahmad Marzuk Shaary.
Malah turut mencuri tumpuan ramai ialah adik Presiden Barisan Nasional, Abdul Hakim Hamidi yang mengisytiharkan menjadi ahli Pas seumur hidup pada 15 Oktober 2024 lalu.
Begitu juga Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional yang juga sepupu Perdana Menteri, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mewakili pemimpin badan itu, Tan Sri Noh Omar.
Ratusan penyokong UMNO turut menyertai perhimpunan secara aman bagi menzahirkan sokongan kepada bekas tokoh parti itu dengan melaungkan slogan Bebaskan Bossku.
Dianggarkan lebih 500 orang termasuk daripada Pas dan Muafakat Nasional menyertai perhimpunan berkenaan sejak pukul 7 pagi dan tidak mencetuskan sebarang provokasi. – UTUSAN