TELUK INTAN: Pemilik sebuah syarikat penyelenggaraan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas empat pertuduhan menggunakan dokumen palsu sijil electronic fire extinguisher inspection system (eFEIS) bagi alat pemadam api, minggu lalu.
Tertuduh, Sha Arifin Mohammad Jamal, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Naidatul Athirah Azman.
Mengikut pertuduhan satu hingga empat, lelaki tersebut didakwa dengan curang telah menggunakan sebagai tulen satu dokumen iaitu sijil eFEIS dengan nombor siri berbeza di mana tertuduh mempunyai sebab bahawa dokumen berkenaan adalah palsu.
Tiga kesalahan itu dilakukan di sebuah restoran di Lorong Lagenda 8, Medaniaga Lagenda, Hutan Melintang pada pukul 3.42 petang, 31 Disember 2024 manakala satu lagi kesalahan pula dikesan pada pukul 1.45 petang di Lorong Lagenda 1 pada tarikh yang sama.
Bagi keempat-empat kesalahan itu, bapa kepada seorang anak itu didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Izzuddin Fakri Hamdan manakala lelaki itu diwakili oleh peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), M. Saravanan.
Terdahulu, Izzuddin Fakri mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 dikenakan terhadap tertuduh bagi tiga pertuduhan manakala RM6,000 pula bagi pertuduhan keempat.
Bagaimanapun, Saravanan memohon wang jaminan tersebut dikurangkan atas alasan ia di luar kemampuan tertuduh yang bekerja sendiri selain menanggung keluarga dengan isteri yang tidak bekerja.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi semua pertuduhan dan menetapkan 12 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Media semalam melaporkan, polis Perak berjaya menumpaskan sindiket penipuan dan pemalsuan pelekat eFIES pada alat pemadam api selepas menahan 10 individu menerusi empat tangkapan berasingan di Bagan Datuk dan Cheras, Kuala Lumpur.
Tangkapan terhadap kesemua suspek dibuat selepas polis menerima laporan daripada pengadu mengenai dua individu yang menawarkan perkhidmatan penyelenggaraan alat pemadam api dengan harga RM100 bagi setiap peralatan tersebut.
Bagaimanapun, hasil pemeriksaan yang dijalankan oleh pihak bomba Hutan Melintang di premis pengadu mendapati pelekat eFIES pada alat pemadam api adalah palsu dan tiada dalam rekod.
Malah, semakan mendapati syarikat tersebut tidak dilantik dan berdaftar dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan alat pemadam api. – UTUSAN