KEMAMAN: Seorang pemilik premis kedai cetak di daerah ini didenda RM2,500 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menggunakan mesin cetak tanpa lesen yang sah daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN), Oktober tahun lalu.
Azam Hashim, 37, membuat pengakuan bersalah itu sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didapati menggunakan mesin cetak tanpa lesen yang sah daripada KDN pada 22 Oktober lepas, kira-kira pukul 10.45 pagi di premis perniagaannya di Jalan Sulaimani, Chukai.
Kesalahan itu dilakukan tertuduh mengikut Seksyen 3(4) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang membawa hukuman denda sehingga RM20,000 atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Bahagian Penguatkuasa dan Kawalan KDN, Hardigor Hodin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Ketika prosiding tersebut, Hardigor memohon agar hukuman setimpal dikenakan kepada tertuduh. Bagaimanapun, tertuduh merayu agar dikenakan denda minimum berikutan pendapatannya hanya kurang daripada RM2,000 sebulan dan menanggung lima anak yang masih bersekolah. – UTUSAN