KOTA BHARU: Pemilihan sempena Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2024 yang dijangka berlangsung awal tahun ini bertujuan menstabilkan kepemimpinan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri.
Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berharap pemilihan berkenaan dapat berlangsung dengan penuh semangat demokrasi.
“Kita sekarang berada dalam kerajaan dan ini adalah masa untuk kita membuktikan bahawa pemilihan PKR dapat berlangsung dengan harmoni, baik serta penuh dengan semangat demokrasi.
“Selain itu, kita berharap keseluruhan kongres berlangsung dengan penuh semangat kekeluargaan,” katanya selepas Sesi Perjumpaan Khas Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Kelantan Bersama Ketua-Ketua Jabatan Perkhidmatan Awam, di sini hari ini.
Beliau berkata, PKR telah membuat pindaan perlembagaan pada kongres khas yang lepas untuk membaik pulih sistem pentadbiran dalaman parti itu.
“Insya-Allah, dengan itu kita yakin kongres berlangsung dengan lancar dan kita juga mahu membuktikan kepemimpinan Presiden (Anwar) dapat menerajui kerajaan dengan baik selaku Perdana Menteri.
“Kita turut membincangkan kerjasama PH-BN (Pakatan Harapan – Barisan Nasional) sepertimana dilaksanakan dalam kongres sebelum ini,” ujarnya. – UTUSAN