PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) melakukan persedian rapi bagi mengelak sebarang isu ‘kebocoran’ biarpun petugas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kini sebahagiannya dikendalikan sukarelawan.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya mengambil kira semua isu itu termasuk ketika melantik petugas peperiksaan dalam kalangan sukarelawan tersebut.
Beliau berkata, setiap pemilihan petugas peperiksaan itu dibuat menerusi kaedah yang ketat.
“Malah, mereka yang dipilih itu benar-benar layak untuk menjadi pengawas peperiksaan. Jadi setakat ini tidak ada masalah,” katanya dalam sidang akhbar Pengoperasian Peperiksaan SPM 2024 di sini, hari ini.
Katanya, pengawas peperiksaan sukarelawan ini mestilah mematuhi syarat-syarat ditetapkan iaitu terbuka kepada orang awam, mempunyai pengalaman bersesuaian dan mematuhi arahan ditetapkan KPM.
Fadhlina berkata, pesara guru juga adalah antara pengawas peperiksaan sukarelawan yang dilantik bagi membantu sepanjang peperiksaan SPM 2024 berlangsung.
Menurutnya, jumlah petugas peperiksaan SPM 2024 adalah seramai 44,968 orang termasuk 5,780 pengawas peperiksaan dalam kalangan sukarelawan.
“Kami berhasrat untuk melantik sekurang-kurangnya 20 peratus petugas peperiksaan sukarelawan di setiap negeri,” katanya.
Katanya, SPM 2024 dilaksanakan bermula hari ini hingga 6 Februari depan dengan jumlah keseluruhan calon adalah seramai 402,956 orang.
Lembaga Peperiksaan menetapkan beberapa syarat untuk menjadi petugas peperiksaan SPM antaranya, berumur tidak kurang daripada 18 tahun dan tidak melebihi 65 tahun.
Syarat lain ialah sihat tubuh badan dan tiada penyakit kronik, bebas dari sebarang rekod jenayah dan tindakan mahkamah, berada di daerah sama (tidak lebih 25km sehala) dan mempunyai pengangkutan sendiri.
habis.