Pemberian Baucar Buku Madani akan diperluas kepada guru

Pemberian Baucar Buku Madani akan diperluas kepada guru

FADHLINA Sidek (belakang, tiga dari kanan) pada Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Tahun 2025 Peringkat Negeri Pulau Pinang di SK Seri Tasek, Simpang Ampat, Pulau Pinang.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL : Kementerian Pendidikan (KPM) dijangka memperluaskan pemberian Baucar Buku Madani kepada warga pendidik khususnya guru sekolah tidak lama lagi.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, ia susulan kejayaan program baucar buku tersebut untuk pelajar sepanjang tahun lepas yang mencapai 100 peratus penebusan termasuk di kawasan luar bandar.

Beliau berkata, nilai pemberian baucar buku untuk guru itu bagaimanapun akan diperhalusi dalam satu perbincangan dengan Jemaah Menteri tidak lama lagi.

“Dalam perbincangan (mesyuarat Kabinet) itu nanti, kita juga akan laporkan mengenai kejayaan (pemberian) baucar buku ini (sepanjang tahun lepas),” katanya kepada pemberita, hari ini.

Fadhlina ditemui pada Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Tahun 2025 Peringkat Negeri Pulau Pinang di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Tasek di sini. Hadir sama Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP), Wan Sajiri Wan Hassan.

Pada majlis itu, lebih RM33.9 juta diumum sebagai peruntukan BAP untuk diagih kepada 226,004 murid dan pelajar di semua sekolah di Pulau Pinang bagi sesi persekolahan 2025/2026.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata, inisiatif Baucar Buku Madani secara keseluruhannya telah memberi manfaat kepada lebih 3.5 juta pelajar dengan jumlah penebusan baucar mencapai RM286 juta dan melibatkan lebih 7.8 juta bahan bacaan sepanjang tahun lalu.

“Ia kejayaan yang cukup besar walaupun tidak mudah. Tetapi, kita berjaya laksanakannya hasil komitmen daripada semua pihak termasuk guru,” kata beliau.

Pemberian baucar buku untuk pelajar sekolah itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada bulan Mei tahun lepas dengan murid Tahun 4 hingga Tahun 6 akan menerima baucar bernilai RM50 manakala pelajar sekolah menengah dan institusi pendidikan tinggi (IPT) pula menerima baucer bernilai RM100.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN