Pembelaan derma Arab SRC, 1MDB bercanggah

Pembelaan derma Arab SRC, 1MDB bercanggah

Datuk Seri Najib Tun Razak
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sejak isu penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diperkatakan, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sering menyatakan bahawa wang yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya adalah derma Arab.

Pembelaan yang sama turut digunakan dalam perbicaraan kes penyelewengan dana RM42 juta membabitkan anak syarikat 1MDB, SRC International Berhad.

Bagaimanapun, di Istana Kehakiman hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Baharin Omar bertubi-tubi menunjukkan percanggahan pembelaan Najib dalam SRC dan 1MDB.

Najib `mengakui’ terdapat percanggahan dalam pembelaan tersebut namun menyatakan beliau akan memberikan penjelasan sewaktu pemeriksaan semula kelak.

Antara percanggahan yang dikemukakan hari ini ialah berhubung empat keping surat derma Arab dan berhubung pembukaan akaun peribadinya yang digunakan untuk menerima derma tersebut.

Dalam pembelaannya di SRC, Najib menyatakan bahawa surat-surat derma Arab itu adalah daripada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low namun pada Jumaat lalu, pada perbicaraan 1MDB, Najib menyatakan surat-surat derma itu diserahkan kepadanya oleh bekas Ketua setiausaha Sulitnya, Datuk Azlin Alias.

Pada perbicaraan kes 1MDB, Najib menyatakan Jho Low memberitahunya jumlah derma Arab yang akan diberikan kepadanya adalah AS$1 bilion.

Namun dalam perbicaraan kes SRC, Najib memberitahu mahkamah bahawa Jho Low memaklumkan kepadanya derma Arab yang akan diterimanya adalah di antara AS$100 hingga AS$200 juta.

Menurut penghakiman panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan, panel terbabit menyifatkan pembelaan Najib berhubung derma Arab yang dikatakan sumbangan daripada keluarga diraja Arab Saudi adalah lebih dongeng daripada Hikayat 1001 Malam.

Panel yang diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dan bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera menyatakan dakwaan derma Arab itu adalah satu rekaan dan tidak mempunyai kredibiliti.

Hikayat 1001 Malam atau turut dikenali sebagai Arabian Nights merupakan himpunan pelbagai kisah-kisah dongeng seperti Aladdin, Ali Baba dan Empat Puluh Penyamun dan Tujuh Pengembaraan Sinbad: Seorang Pelayar.

Perbicaraan bersambung esok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya