Pembantu penyelia curi wang syarikat dipenjara, denda RM7,000

Pembantu penyelia curi wang syarikat dipenjara, denda RM7,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Gara-gara mencuri wang syarikat dua tahun lalu, bekas pembantu penyelia sebuah kedai serbaneka dihukum penjara sehari dan denda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Sekiranya gagal membayar denda berkenaan, Aimi Aizat Jalani, 39, perlu dipenjara selama setahun.

Hakim Azrul Darus memutuskan demikian setelah tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, Aimi Aizat yang merupakan pembantu penyelia sebuah kedai serbaneka telah didapati mencuri wang tunai berjumlah RM5,795.45 milik bekas majikannya pada 19 dan 20 Januari 2023, di Menara AA Golden Triangle, Jalan Tun Razak di sini.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan dengan denda.

Timbalan Pendakwa Raya, R. Harvin mencadangkan hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran dengan mengambil kira kepentingan awam dan jumlah kerugian yang dialami oleh mangsa.

Bagaimanapun, peguam bela, Pang Tek Kit yang mewakili Aimi Aizat memohon mahkamah mengenakan hukuman minimum dengan alasan anak guamnya tidak mempunyai pekerjaan dan sedang mengalami kekangan kewangan.

“Tertuduh perlu menanggung keluarga. Pengakuan salahnya juga telah menjimatkan masa dan kos mahkamah. Memandangkan dia telah memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan dijalankan, saya mohon mahkamah mengenakan hukuman penjara sehari dan denda paling minimum terhadapnya,” katanya.

Menurut fakta kes, pengadu yang merupakan pengurus operasi di syarikat kedai serbaneka tersebut telah menjalankan pemeriksaan kertas kerja di stor yang terletak di Menara AA, Jalan Tun Razak di sini.

Hasil pemeriksaan mendapati seorang pembantu penyelia stor, Aimi Aizat gagal memasukkan hasil jualan harian ke dalam akaun bank syarikat mengikut jadual yang ditetapkan. 

Pengadu telah meminta laporan perniagaan dan slip transaksi bank bagi tarikh 19 Januari 2023, namun tertuduh memberi alasan bahawa wang tidak mencukupi.  

Kemudian, pada 20 Januari 2023, pengadu sekali lagi melakukan pemeriksaan fizikal stor tersebut bersama seorang saksi dan mendapati wang hasil jualan masih tidak mencukupi.

Bagi jualan pada 19 Januari 2023, jumlah yang sepatutnya dimasukkan adalah RM10,789.60, tetapi hanya RM5,789.60 dimasukkan dan ia telah menyebabkan kekurangan sebanyak RM5,000.  

Manakala, untuk jualan pada 20 Januari 2023, wang yang hilang berjumlah RM795.45 dan jumlah keseluruhan kerugian syarikat adalah sebanyak RM5,795.45.  

Hasil semakan kamera litar tertutup juga mendapati tertuduh adalah individu terakhir yang mengira dan menimbang wang hasil jualan yang bertentangan dengan prosedur operasi standard (SOP) syarikat. Alasan tertuduh bagi kehilangan wang tersebut juga tidak munasabah sedangkan wang itu berada di bawah kawalannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya