Pemasangan CCTV kurangkan pembuangan sampah haram - Utusan Malaysia

Pemasangan CCTV kurangkan pembuangan sampah haram

WONG Chai Yi (tengah) menunjukkan gambar lokasi pembuangan sampah haram yang dipasang CCTV berteknologi AI pada program di Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pemasangan lima unit kamera litar tertutup (CCTV) dengan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) di lokasi sekitar Simpang Pulai di sini, berjaya menyelesaikan kira-kira 90 peratus masalah pembuangan sampah haram.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai, Wong Chai Yi berkata, sejak CCTV itu mula dipasang di lima kawasan ‘hotspot’ bulan lalu, terdapat pengurangan ketara longgokan sampah haram di kawasan terbuka termasuk di luar tong sampah roro.

Katanya, lima lokasi yang dipasang CCTV ialah di Pasar Gunung Rapat, Halaman Ampang Mewah, Persiaran Wira Jaya Timur 50, Jalan Desa Ampang 25 dan Jalan Harilela A1.

“Dengan pemasangan CCTV berteknologi AI, imej yang dipaparkan dalam rakaman lebih jelas apabila boleh mengenal pasti kenderaan berserta nombor pendaftaran serta perlakuan individu yang membuang sampah secara haram.

” CCTV ini dihubungkan terus dengan ‘command centre’ melalui nombor telefon Ahli Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Pusat Khidmat DUN Simpang Pulai minggu ini di mana rakaman CCTV akan dihantar ke pihak penguatkuasa untuk tindakan lanjut.

“Selepas pemasangan ini, memang kita nampak impak besar apabila di kelima-lima lokasi yang dahulunya penuh dengan longgokan sampah domestik dan pukal kurang secara drastik,” katanya ketika ditemui selepas meninjau pemasangan CCTV di Pasar Gunung Rapat di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Simpang Pulai, Tan Kar Hing dan Ahli Majlis MBI Zon Rapat Setia, Chung Cum Cheong.

Menurut beliau, berdasarkan rakaman dari CCTV yang dihantar kepada penguatkuasa, mereka berjaya mengesan pembuang sampah haram dan telah mengeluarkan lima kompaun di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 berjumlah RM1,000 setiap satu.

Katanya, setakat ini, pihaknya telah menerima dua lagi permohonan untuk pemasangan CCTV di tapak pembuangan sampah haram namun penilaian akan dilakukan bagi melihat tahap keseriusan masalah itu.

“Pemasangan lima CCTV melibatkan peruntukan sebanyak RM50,000 ini adalah inisiatif Pusat Khidmat Ahli Parlimen Gopeng dan Simpang Pulai dalam usaha menangani kegiatan tidak bertanggungjawab membuang sampah secara haram yang bukan sahaja mencemarkan alam sekitar malah mengganggu penduduk,” katanya.

Sementara itu, Kar Hing berkata, pemasangan CCTV itu bukanlah bertujuan menghukum, sebaliknya untuk mendidik orang ramai supaya membuang sampah di tempat yang disediakan.

“Sedih kita lihat kesedaran orang ramai masih lagi kurang memuaskan, ada tong (sampah) tapi kosong, sampahnya berlonggok di tepi.

“Itu yang menyebabkan kita terpaksa guna dan pasang CCTV ini, kita bukan berniat untuk menghukum pesalah tetapi untuk mencegah dan juga menyuburkan kesedaran di kalangan penduduk,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya