SEREMBAN: Seorang pemandu lori dan tiga penjaga stor warganegara Myanmar didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan berurusan dengan barang kawalan berjadual iaitu 3,339.7 kilogram (kg) gas petroleum cecair (LPG) tanpa lesen pada minggu lalu.
Tertuduh, M.Mahendran, 28, yang merupakan warga tempatan bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Mohamad Kamil Nizam.
Pertuduhan bagi tiga lagi tertuduh iaitu warga Myanmar, Maung San Lin, 43, Sawt Myint Thaung, 42, dan Saw Pa So Gay, 30, bagaimanapun tidak dapat dibacakan pada prosiding hari ini memandangkan mereka tidak memahami Bahasa Melayu.
Mengikut pertuduhan bagi Mahendran, dia dan tiga tertuduh warga Myanmar itu bersama-sama dengan seorang yang masih bebas didapati telah ada dalam jagaan barang kawalan berjadual iaitu LPG sejumlah 3,339.7 kg.
Ia dalam keadaan menimbulkan syak yang munasabah untuk melanggar Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan secara borong LPG tanpa suatu lesen yang sah daripada Pengawal.
Kesalahan itu dilakukan lebih kurang pukul 4.30 petang di Premis Tanpa Nama, Lot 52599, Kampung Ribu, Off Kampung Sawah, di Rantau pada 15 Januari lalu.
Sehubungan itu, mereka telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) Akta yang sama dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara dalam tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, dan bagi kesalahan kedua atau kesalahan yang seterusnya, didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara dalam tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Nor Alimah Mohd. Sanusi menawarkan jaminan RM20,000 kepada Mahendran kerana kesalahan yang dilakukan adalah serius melibatkan barang kawalan berjadual.
Peguam J.Dasene menyebut bagi pihak peguam A.Partheeban yang mewakili Mahendran pada prosiding hari ini memohon jaminan yang rendah memandangkan tertuduh bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan RM1,300 sebulan serta menanggung ibu dan tiga adik-beradiknya yang lain.
Mahkamah kemudian membenarkan Mahendran diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan perlu melapor di Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berdekatan sekali sebulan, tidak mengganggu saksi dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 20 Februari depan dengan kehadiran jurubahasa Myanmar bagi membaca semula pertuduhan bagi tiga lagi tertuduh warga asing itu. – UTUSAN