Pemandu BMW langgar lari didenda RM5,500

Pemandu BMW langgar lari didenda RM5,500

CHRISTOPHER Lim Ka Hen ketika hadir di Mahkamah Majistret, Johor Bahru. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pemandu kereta mewah jenis BMW yang bertindak melarikan diri selepas melanggar sebuah Perodua Aruz sehingga menyebabkan pemandunya patah tangan didenda RM5,500 oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini.

Tertuduh, Christopher Lim Ka Hen, 27, dijatuhkan hukuman itu selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret, Nur Fatin Mohamad Farid.

Mahkamah turut memerintahkan lesen memandu tertuduh ditarik dan diarah menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Ka Hen yang merupakan pemandu kereta BMW didakwa memandu tanpa pertimbangan munasabah di persimpangan lampu isyarat Jalan Sungai Danga – Jalan Nusa Bestari di sini, kira-kira pukul 3.10 pagi, 17 Januari lalu.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntuk hukuman denda hingga RM10,000 dan penjara hingga 12 bulan serta lesen memandu ditarik, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang merupakan pekerja swasta dan tidak diwakili peguam itu memohon hukuman ringan diberi atas alasan masih bujang dan mempunyai ibu bapa.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor, Inspektor S. Vikineswary.

Pada 19 Januari lalu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan dilaporkan memburu tertuduh bagi membantu siasatan kes kemalangan membabitkan sebuah Perodua Aruz dengan BMW berkenaan.

Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila Ka Hen yang memandu BMW tersebut melanggar lampu isyarat merah dan merempuh Perodua Aruz dipandu lelaki berusia 26 tahun sebelum bertindak melarikan diri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN