BUKIT MERTAJAM : Pemandu bas ekspres kini lebih berwaspada susulan menyedari kehadiran anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang menyamar sebagai penumpang terutamanya semasa musim perayaan.
Pengarah JPJ Pulau Pinang, Zulkifly Ismail berkata, kesedaran itu membuktikan keberkesanan operasi sekali gus meningkatkan kadar pematuhan pemanduan mereka ketika berada di jalan raya.
Katanya, anggota yang menyamar akan menaiki bas tanpa disedari dan kesalahan pemandu akan dicatat sebelum sebarang tindakan diambil.
“Kalau kita tengok, kaedah (penyamaran) ini berhasil. Cuma kalau di musim perayaan khususnya, pemandu bas dah tahu, maka, mereka akan lebih ‘alert’ (berhati-hati).
“Kalau pemandu sudah berjaga-jaga dan berwaspada akan kehadiran anggota (JPJ), itu sebenarnya sudah kira bagus.
“Mereka (pemandu) pasti akan lebih berhati-hati untuk pastikan tidak melanggar peraturan sekali gus memastikan penumpang selamat sampai ke destinasi,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Op Khas Tahun Baharu Cina 2025 di Plaza Tol Juru Arah Utara, di sini, malam tadi.
Operasi yang berlangsung selama 19 hari iaitu sehingga 9 Februari itu melibatkan 220 anggota penguatkuasa secara keseluruhannya dengan penyertaan beberapa agensi atau jabatan lain termasuk polis, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 1,273 kenderaan telah diperiksa dalam operasi yang bermula pada pukul 8.30 malam itu dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 154 kenderaan telah dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan.
“Sebanyak lima kenderaan telah disita dan dua daripadanya dipandu oleh warga asing manakala tiga lagi kenderaan pula disyaki telah melakukan pengubahsuaian.
“Jadi, kita akan panggil pemilik kenderaan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” kata Zulkifly lagi.-UTUSAN