LANGKAWI: Pelbagai manfaat diraih pengusaha pelancongan dan penggiat perniagaan di pulau peranginan ini pada Pemukiman Menteri Luar ASEAN (AMM) sempena Kepengerusian ASEAN 2025 yang bermula Sabtu ini.
Penasihat Persatuan Perniagaan Langkawi, Datuk Alexander Isaac berkata, Langkawi merupakan destinasi yang sangat bergantung kepada sektor pelancongan dan antara penyumbang besar kepada pendapatan negara.
“Kira-kira 92 peratus ekonomi Langkawi bergantung secara langsung atau tidak langsung kepada pelancongan. Untuk komuniti tempatan, pelancongan sangat penting kerana ia nadi utama mereka yang juga membawa pendapatan besar kepada negeri dan negara.
“Dengan kehadiran delegasi ASEAN termasuk media antarabangsa tentunya kita dapat mendedahkan Langkawi yang sebenar dan pada masa sama dapat mengenepikan pelbagai persepsi yang telah dicipta,” katanya ketika ditemui semalam.
Mesyuarat pada 18 dan 19 Januari ini dijangka membabitkan kehadiran ratusan delegasi asing pada acara pembuka tirai dalam menjayakan aspirasi Malaysia menggalas tanggungjawab memimpin rantau Asia Tenggara selaku Pengerusi ASEAN bermula 1 Januari lalu.
Penasihat Persatuan Peniaga-Peniaga Kaum Tionghua Langkawi, Lee Han Eng berkata, pemimpin-pemimpin ASEAN akan lebih mengenali Langkawi sebagai pulau bebas cukai yang bertaraf antarabangsa selain Bali dan Phuket di negara jiran.
“Pada dasarnya penganjuran ASEAN di Langkawi memang membawa banyak manfaat kepada pertumbuhan ekonomi Langkawi bahkan juga kepada penduduk daerah ini.
“Mudah-mudahan selepas persidangan ASEAN ini akan buka lebih banyak laluan penerbangan terus dari negara peserta ke Langkawi, ini akan bawa lebih ramai pelancong menginap dan berbelanja di sini yang akan meningkatkan pendapatan bagi semua peniaga,” katanya.
Timbalan Pengerusi Persatuan Inap Desa Langkawi, Abdul Jamil Ali berkata, pelancong asing biasanya gemar melihat produk-produk kraf yang dihasilkan penduduk tempatan selain merasai pengalaman menginap di inap desa.
Maka ujarnya, penggiat industri kreatif di Pulau Langkawi harus mengambil peluang untuk memperkenalkan produk-produk mereka sempena penganjuran acara besar itu.
“Di kawasan saya ada ramai pengusaha kraf yang menghasilkan produk berasaskan tempurung, batik dan pelbagai lagi yang boleh dijadikan buah tangan kepada delegasi-delegasi ASEAN,” katanya.
Bagi pemandu pelancong, Muhammad Zulkarnain Husin, dia turut berharap penganjuran ASEAN kali ini akan dapat membuka lebih banyak laluan udara terus dari negara-negara terlibat ke Langkawi agar memberi impak lebih besar kepada penduduk dalam aspek ekonomi. – UTUSAN