KUALA LUMPUR: Sindiket penjualan pelekat khas dikesan diguna pakai kebanyakan pemilik atau pemandu kenderaan berat bertujuan ‘melindungi’ mereka ketika melepasi pemeriksaan atau sekatan jalan raya pihak berkuasa.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, terdapat beberapa pemandu lori memperoleh pelekat khas itu daripada sindiket bagi mengelak dikenakan kompaun atau tindakan saman.
Pengusaha-pengusaha lori itu terlebih dahulu akan membeli pelekat khas yang memaparkan kod dan bentuk tertentu daripada sindiket dengan harga serendah RM1,000 untuk setiap lori dan kemudian ditampal pada bahagian depan atau belakang kenderaan untuk memudahkan dikenali.
Pelekat itu berfungsi untuk ‘membantu’ penguat kuasa yang tidak bertanggungjawab mengenali lori di bawah ‘jagaannya’, sekali gus memberikan pelepasan apabila mereka melalui sekatan atau pemeriksaan jalan raya walaupun melakukan pelbagai kesalahan trafik termasuk membawa muatan berlebihan.
Utusan Malaysia turut difahamkan, harga pelekat itu disediakan mengikut berat kenderaan dan zon kawasan, dengan sebahagian kenderaan berat akan mempunyai dua atau lebih pelekat bagi memastikan mereka terus terlepas daripada sebarang tindakan undang-undang.
Seorang wakil pemandu lori yang tidak mahu dikenali berkata, sindiket tersebut yang dipercayai didalangi dalam kalangan penguat kuasa sendiri meraih keuntungan luar biasa iaitu sekurang-kurangnya RM10,000 sebulan daripada seorang pengusaha lori sahaja.
Menurutnya, pengusaha lori bersaiz sederhana yang mempunyai 10 buah lori perlu membeli pelekat khas tersebut untuk ditampal di setiap kenderaan berat mereka.
Ini bermakna, jika ada 10 pengusaha lori bersaiz sederhana yang beroperasi di zon kawasan tersebut, maka sindiket berkenaan akan meraih RM100,000 sebulan.
“Pelekat khas itu ada macam-macam bentuk, contohnya bentuk helang dan mempunyai kod tertentu, maka apabila sindiket itu nampak, mereka akan tahu lori berkenaan sudah ‘makan’, jadi mereka tidak akan tahan. Kebanyakan yang pakai pelekat khas itu adalah treler dan lori tipper (mengangkut pasir).
“Perkara ini sudah lama berlaku. Pengusaha perlu membayar setiap bulan kepada sindiket berkaitan untuk memastikan mereka terus menikmati kelebihan pelekat khas tersebut.
“Apa sahaja kesalahan lori itu, maka akan dilepaskan daripada sekatan jalan raya sekiranya pelekat itu kekal tertampal,” katanya baru-baru ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pengusaha lori akan membeli lebih dari satu pelekat khas tersebut untuk membolehkan pemandunya melepasi sekatan jalan raya di kawasan-kawasan lain.
“Contohnya, apabila pemandu itu bawa lori keluar dari satu-satu kawasan, sebagai contoh dia pandu di bahagian Klang sahaja tetapi tiba-tiba masuk Petaling Jaya, pemandu itu kena tahan walaupun ada pelekat khas tersebut. Ini kerana pemandu itu hanya ada satu pelekat khas sahaja.
“Ini bermakna, mereka ‘beli’ pelekat khas itu dari sindiket di kawasan Klang sahaja, jadi kena ‘kawtim’ (bincang) lain dengan sindiket Petaling Jaya itu untuk membolehkan mereka menikmati ‘keistimewaan’ di kawasan tersebut,” jelasnya.
Mengulas mengenai perbezaan pelekat khas dan perkhidmatan tonto, beliau berkata, pengusaha lori lebih berminat untuk mendapatkan pelekat khas kerana mempunyai lebih banyak kelebihan.
“Pelekat khas itu membolehkan pemandu lori untuk berjalan ke mana-mana sahaja tanpa rasa bimbang walaupun ia lebih mahal dari menggunakan perkhidmatan tonto yang kebiasaannya sindiket itu ambil RM200 ke RM300 untuk satu lori,” katanya.
Sementara itu, seorang wakil dari industri teksi berkata, tiada pelekat khas yang memberi kekebalan undang-undang itu digunakan pemilik kenderaan persendirian seperti teksi seperti mana digunakan oleh kenderaan berat.
Katanya, buat masa ini, hanya kenderaan berat seperti lori sahaja yang menggunakan perkhidmatan itu. – UTUSAN