KUALA LUMPUR: Gara-gara menceroboh rumah bekas teman wanitanya, seorang pelayan restoran didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan itu.
Majistret Farah Nabihah Muhammad Dan membuat keputusan itu setelah tertuduh, Al-Hafis Hanif, 28, mengaku bersalah di atas pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya.
Sekiranya gagal membayar denda berkenaan, tertuduh perlu dipenjara selama sebulan.
Mengikut pertuduhan, Al-Hafis telah melakukan menceroboh rumah milik Nur Munirah Sakinah Nazri, 25, pada pukul 12.50 malam, 13 Januari lalu, di Kampung Batu Muda tambahan, Sentul di sini.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau dengan kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Amritpreet Kaur Randhawa mencadangkan hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh agar kejadian seperti itu tidak berulang lagi.
Bagaimanapun, Al-Hafis merayu dikenakan hukuman minimum kerana telah menjimatkan masa dan kos mahkamah.
“Saya telah menyesal dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan ini lagi. Dimohon agar mahkamah mempertimbangkan hukuman paling rendah,” katanya.
Berdasarkan fakta kes, semasa pengadu berada di rumahnya, dia menyedari bahawa teman lelakinya sedang berlegar-legar di hadapan rumah.
Tidak lama kemudian, pengadu menerima pesanan WhatsApp yang mengesahkan tertuduh berada di luar balkoni biliknya.
Tertuduh telah memanjat pintu pagar rumah tersebut dan naik ke balkoni bilik pengadu. Bapa pengadu segera menghubungi pihak pengawal keselamatan untuk mendapatkan bantuan. Tidak lama selepas itu, pihak polis tiba di lokasi dan menahan lelaki berkenaan.-UTUSAN