PASIR SALAK: Pelantikan pemimpin parti kerajaan dengan jawatan sebagai Pegawai Khas Menteri Besar di 26 kawasan Pembangkang di negeri ini bukan jaminan akan dipilih sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-16.
Pegawai Khas Menteri Besar Perak Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Gajah, Khairul Azwan Harun berkata, jawatan itu merupakan pendekatan baharu Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad bertujuan melancarkan pentadbiran kerajaan negeri di 26 kawasan yang diwakili pembangkang.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak berkata, jawatan itu bukan jaminan dirinya terpilih menjadi calon bagi mana-mana kerusi.
Beliau berkata, jawatan itu adalah amanah dan tanggungjawab untuk bantu Menteri Besar menguruskan hal ehwal Pejabat Menteri Besar dan membantu melicinkan pentadbiran kampung dan rakyat.
“Ini kerana Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di kawasan pembangkang memerlukan saluran lebih efektif yang tidak boleh melalui wakil rakyat pembangkang.
“Jadi urusan pejabat menteri besar dan kerajaan negeri dapat diurus dengan baik serta proses berjalan lancar kerana sudah ada perwakilan di kawasan DUN terlibat, itu sahaja. Bukanlah polemik politik baharu bahawa mereka ini jadi calon pilihan raya,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita pada program Multaqa Pegawai Masjid Peringkat Parlimen Pasir Salak Tahun 2025 di Dewan Kampung Pulau Gajah, Kampung Gajah di sini hari ini.
Seramai 26 individu dilantik sebagai Pegawai Khas Menteri Besar iaitu 18 pemimpin akar umbi dalam kalangan UMNO, diikuti Amanah (empat), PKR (tiga) dan DAP, hanya seorang.
Sementara itu, mengenai keputusan UMNO menarik semula penggantungan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Khairul Azwan berkata, keputusan MKT itu dapat membantu pimpinan parti di pusat, negeri dan bahagian untuk menguatkan parti.
“Yang penting siapa sahaja yang diterima semula menjadi ahli pertamanya perlu kekalkan disiplin dan terus ikhlas dalam membantu pimpinan parti, negeri dan bahagian dalam menguatkan parti.
“Selebih daripadanya terserah kepada pucuk pimpinan. Saya di Bahagian Pasir Salak ini sangat fokus dalam memastikan dua kerusi DUN dan satu kerusi Parlimen, kita boleh menang semula,” katanya.
Sebelum ini, Tajuddin digantung keahlian selama enam tahun bermula September 2022 kerana kesalahan mengkritik parti.
Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada 25 November lalu menarik balik penggantungan keahlian Tajuddin. – UTUSAN