KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sabah akan mengheret pelaku yang terlibat dalam pembunuhan kejam gajah pygmy Borneo ke mahkamah.
Tegas Menterinya, Datuk Seri Christina Liew, selepas siasatan dan bukti-bukti berkaitan diperoleh, pelaku yang terlibat akan dihadapkan ke mahkamah dan didakwa mengikut Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.
“Saya telah mengarahkan pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) untuk menjalankan siasatan menyeluruh berkaitan kes anak gajah yang ditemukan tanpa kepala. Siasatan masih berjalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut mengecam tindakan pihak yang terlibat dalam pembunuhan anak gajah yang ditemukan tanpa kepala dan kaki berhampiran Maliau Basin di Jalan Kalabakan, Tawau semalam.
Christina berkata, pembunuhan gajah berkenaan adalah satu tindakan tidak berperikemanusiaan yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.
Beliau juga kecewa apabila ketika kementeriannya dan JHL berusaha untuk melindungi dan memelihara populasi gajah pygmy Borneo di Sabah, masih ada pihak yang tidak berhati perut yang cuba menjejaskan usaha mereka.
Semalam, tular video mengenai penemuan gajah tanpa kepala dan kaki berhampiran Maliau Basin, Tawau yang kemudiannya mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial. – UTUSAN