LUMUT: Kerajaan bersedia melaksanakan cadangan agar pelajar kemasukan baharu di semua 270 Institut Pendidikan MARA (IPMA) seluruh negara diwajibkan melalui ujian asas fardu ain termasuk kelancaran bacaan al-Fatihah.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia bagaimanapun hanya dikuat kuasakan kepada pelajar beragama Islam sahaja, jika cadangan itu dipersetujui.
“Saya menyokong cadangan ini bagi memastikan setiap pelajar beragama Islam perlu memiliki asas keagamaan.
“Walaupun ada ayat al-Quran menyatakan tiada paksaan dalam Islam, tetapi adalah menjadi kewajiban kepada orang Islam memiliki asas fardu ain,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke kampus Institut Teknologi Marin Universiti Kuala Lumpur (UniKL MIMET) dekat sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mengulas kenyataan Asyraf Wajdi sebelum ini yang mahu pelajar kemasukan baharu di 232 institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) GiatMARA diwajibkan melalui ujian berkenaan.
Beliau dilaporkan berkata, ujian khas tersebut diperkenalkan berikutan ada kalangan pelajar institusi itu dikenal pasti lemah dalam aspek agama termasuk gagal membaca al-Fatihah dengan betul.
Ahmad Zahid berkata, kebiasaannya apabila seseorang pelajar itu mempunyai nilai agama yang kuat, mereka biasanya lebih mudah memahami dan mengingati setiap ilmu yang dipelajari.
Beliau bagaimanapun memberi jaminan kepada pelajar bukan Islam agar tidak bimbang kerana mereka tidak terlibat dengan cadangan tersebut.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa Kementerian Pendidikan Tinggi secara dasarnya bersetuju agar Politeknik Bagan Datuk yang juga menyediakan pengajian dalam bidang maritim, menjadi kolej ‘feeder‘ kepada UniKL MIMET.
Katanya, perkara lanjut mengenai perkara tersebut akan dibincangkan oleh kedua-dua pihak tidak lama lagi.
Dalam lawatan itu, Ahmad Zahid turut merasmikan Pusat Hidrodinamik Wave Tank bernilai RM12.7 juta di kampus UniKL MIMET.
Katanya, fasiliti berteknologi tinggi itu yang dibina di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) adalah satu-satunya kemudahan yang ada di institut pendidikan di rantau ini.
Beliau berkata, kemudahan itu dijangka menjadi pemangkin utama kepada perkembangan industri maritim Malaysia dan berpotensi memperkukuh penyelidikan, inovasi, serta pembangunan modal insan dalam sektor kejuruteraan marin dan maritim. – UTUSAN