SEPANG: Seorang pekerja selenggara bangunan ditahan selepas berkelakuan tidak senonoh dengan menunjukkan kemaluan kepada seorang wanita di Savana Southville City, di sini petang semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, G Shan Gopal berkata, suspek berusia 31 tahun itu berjaya ditahan tengah malam tadi di Labohan Dagang, di sini.
Beliau berkata, pihaknya turut merampas sebuah kereta jenis Proton Iriz berwarna merah yang digunakan suspek ketika kejadian.
“Suspek ditahan susulan laporan polis dibuat mangsa yang mendakwa suspek menghampirinya dengan sebuah kereta ketika dia berjalan seorang diri sebelum menunjukkan kemaluan.
“Susulan laporan polis itu, suspek berjaya ditahan sekitar 12.15 tengah malam tadi. Semakan mendapati, suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, pihaknya telah mendapat perintah tahanan reman selama tiga hari di Mahkamah Majistret Sepang bagi menahan suspek untuk membantu siasatan.
Shan Gopal berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau dengan kedua-duanya sekali.
“Suspek juga akan disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum dengan denda yang tidak melebihi RM100,” katanya.
Sementara itu, mangsa menerusi perkongsian di media sosial mendakwa pernah diganggu lelaki yang sama sekitar 9 Disember tahun lalu.
Mangsa juga mendakwa suspek menyasarkan pelajar wanita yang berjalan seorang diri sebelum berkelakuan tidak senonoh. – UTUSAN