KUALA TERENGGANU: Hasrat seorang pekerja pelantar minyak untuk mendapat keuntungan singkat musnah apabila mengalami kerugian RM48,905.41 akibat terpedaya sindiket pelaburan tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, mangsa yang berumur 51 tahun dan berasal dari Gong Badak, Kuala Nerus dihubungi seorang individu bernama Nora pada 3 Januari lalu.
Katanya, mangsa dipelawa menyertai pelaburan dengan modal serendah RM400 dan dijanjikan keuntungan berjumlah RM5,890 dalam masa enam hingga 24 jam.
“Mangsa yang berminat menyertai pelaburan tersebut dengan modal pertama sebanyak RM400 dan dimasukkan ke dalam satu group WhatsApp. Mangsa dimaklumkan yang pelaburannya mendapat pulangan keuntungan dan diminta membuat pembayaran lagi bagi mendapatkannya.
“Namun, setelah membuat sembilan transaksi bayaran berjumlah RM48,905.41 ke tujuh akaun bank yang berbeza, mangsa masih gagal mendapatkan sebarang keuntungan yang dijanjikan,” katanya hari ini. – UTUSAN