KUALA LUMPUR: Seorang pekerja bidang logistik didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat perkhidmatan komunikasi yang jelik dengan menghina terhadap kerabat raja, empat tahun lalu.
Hakim Siti Aminah Ghazali membuat keputusan itu selepas Tan Yong Hua,41, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya. Sekiranya gagal membayar denda berkenaan, tertuduh boleh dipenjara enam bulan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melalui perkhidmatan aplikasi Instagram atas nama profil “ogbadboyterryt” secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
Kesalahan itu dilakukan di gmmhantara 6 dan 7 November 2021 di sebuah kondominium mewah, U-Thant Residence 28 Jalan Taman U-Thant di sini.
Lelaki itu didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah seksyen 233(3) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-dua sekali.
Lelaki itu juga boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu berulang.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Ahmad Hijrah Wan Abdullah mencadangkan hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat di luar.
“Komen tertuduh telah menyentuh institusi diraja yang menjadi tiang seri negara dan sebagai warga negara yang bertanggungjawab perlu peka dalam membuat komen.
“Pendakwaan mohon satu hukuman yang keras bagi memberi pengajaran kepada masyarakat untuk tidak menyentuh perkara 3R terutama institusi diraja dalam mengendalikan media sosial yang mana setiap komen boleh dibaca oleh keseluruhan masyarakat dan membangkitkan kegusaran awam,” katanya.
Yong Hua yang tidak diwakili peguam bela itu merayu kepada mahkamah agar mengurangkan hukuman atas alasan tidak mempunyai pekerjaan yang tetap.
Mengikut fakta kes, hantaran bersifat jelik tersebut telah dibaca oleh pengadu, Tun Putera Ahmad Aizuddin Shah Dato Mohamed Johan pada 06 November 2021 jam lebih kurang 11.00 malam di U-Thant Residence 28 di sini.
Pengadu yang berasa sakit hati apabila membaca hantaran tersebut telah membuat laporan polis.
Keterangan menunjukkan bahawa tertuduh sememangnya sedar dan tahu bahawa hantaran yang dibuat tersebut adalah merupakan satu hantaran yang bersifat jelik serta menghina Institusi Diraja. – UTUSAN