BAGAN DATUK: Pendapatan nelayan pantai di di sini terjejas berikutan kehadiran pekerja warga asing yang diupah sebagai pekerja, sama ada sebagai tekong dan awak-awak di atas bot milik tauke tempatan.
Seorang nelayan yang hanya mahu dikenali sebagai Shariza, 41, berkata, sebahagian besar terdiri daripada warga Indonesia, Thailand, Myanmar dan Vietnam.
Katanya, apa yang menjadi ancaman kepada nelayan tempatan ialah pekerja asing ini menangkap ikan di gazetkan untuk nelayan pantai.
“Memang di sini terutama di Kuala Sungai Tiang dan Kuala Sungai Burung ramai pekerja asing yang diupah menjadi nelayan. Tauke hanya beli bot dan mengupah mereka sebagai tekong dan awak-awak.
“Apa yang menjadi masalah ialah mereka turut menangkap ikan di kawasan yang gazetkan untuk nelayan pantai. Bot yang mempunyai lesen sepatutnya mereka menangkap ikan lapan batu nautika ke atas.
“Namun ada bot yang menarik pukat sehingga dua batu nautika ke pantai, iaitu kawasan yang dikhaskan untuk nelayan pantai.
“Kegiatan ini sudah lama berlaku dan ini menjejaskan hasil tangkapan kami,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Seorang lagi nelayan yang enggan dikenali juga tidak berpuas hati dengan kehadiran ramai warga asing yang menjadi nelayan di kawasan ini.
Katanya, tidak diketahui sama ada mereka mempunyai permit kerja yang sah atau tidak namun mendakwa kebanyakan mereka tinggal di atas bot.
“Kami rasa semakin susah nak cari makan disebabkan kehadiran warga asing yang diupah menjadi nelayan. Mereka menangkap ikan sehingga ke kawasan Zon A yang dikhaskan untuk nelayan pantai.
“Mereka menangkap ikan menggunakan pukat harimau, kalau dahulu mereka hanya menangkap ikan pada waktu siang tetapi sekarang pada malam hari pun mereka masih menangkap ikan di kawasan Zon A.
“Saya berharap pihak berkenaan memantau keadaan ini, sama ada warga asing ini mempunyai permit kerja yang sah atau sebaliknya,” katanya.
Sementara itu Jabatan Perikanan Perak mengerahkan aset laut jabatan itu mengambil tindakan terhadap laporan nelayan pantai tempatan khususnya di Perak yang berdepan isu pencerobohan nelayan asing.
Pengarahnya, Mohd. Ghazali A. Manap berkata, pihaknya menerima laporan mengenai masalah tersebut yang dibangkitkan Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (JARING).
Berikutan itu tindakan sedang diambil antaranya mengerahkan aset laut jabatan untuk membuat siasatan di kawasan aduan.
“Kita turut menggerakkan program penyamaran di kawasan dikatakan berlaku pencerobohan dan rondaan laut dan penahanan kapal Zon A dan Zon B yang beroperasi menggunakan kru asing.
“Daripada siasatan awal dan rondaan laut, terdapat beberapa vessel Zon A dan Zon B dikesan menggunakan kru asing dan ini menyalahi dasar pelesenan vessel penangkapan ikan di bawah Akta Perikanan 1985,” katanya. – UTUSAN