Pegawai polis tidak terperdaya tawaran rasuah RM50,000 

Pegawai polis tidak terperdaya tawaran rasuah RM50,000 

MOHD. TARMIZI merupakan antara anggota polis menerima sijil penghargaan dan anugerah kerana tindakan berani dan nilai budi pekerti tinggi di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol), hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tawaran rasuah kira-kira RM50,000 tidak mampu menggugat integriti seorang pegawai polis, Inspektor Mohd. Tarmizi Said, 40, selepas disogok sindiket penyeludupan subsidi pada 2023. 

Beliau yang ketika itu bertugas di Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Selangor berkata, kejadian berlaku semasa menjalankan operasi membanteras penyeludupan sebelum ditawarkan rasuah oleh sindiket terbabit 

“Tiba-tiba didatangi seorang individu sebelum menawarkan RM50,000. Saya turut memberi amaran kepadanya tidak berbuat demikian tetapi dia tetap dengan tawaran itu (rasuah) menyebabkan saya akhirnya menahan dia.

“Tiada apa saya patut dibanggakan sebab ini tanggungjawab sebagai pegawai polis yang mana menjalankan tugas di lapangan dan hadapi dugaan seperti cubaan rasuah, tanggungjawab saya sebagai pegawai polis untuk membanteras perkara ini secara tak langsung menjaga nama baik PDRM,” katanya. 

Mohd .Tarmizi antara 200 pegawai dan anggota polis menerima sijil penghargaan dan anugerah kerana tindakan berani dan nilai budi pekerti tinggi oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol), hari ini.

Sementara itu, Koperal Christopher Lawai Johnny, 30, yang patah tangan semasa menjalankan rondaan semasa pilihan raya kecil Kluang tahun lalu juga antara mereka yang menerima anugerah.

“Saya berkhidmat di ibu pejabat polis Seri Alam di Johor dan dihantar ke Kluang untuk membantu operasi polis bagi pilihan raya kecil di sana.

“Saya sedang menjalankan rondaan dengan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) apabila dilanggar oleh sebuah kenderaan,” katanya yang patah tangan kanan dan  mengalami kecederaan saraf akibat kemalangan itu.

Christopher berkata, beliau bersyukur kerana berada dalam kalangan mereka yang menerima anugerah dan akan terus memberikan yang terbaik untuk pasukan setelah dia pulih sepenuhnya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata,  terdapat warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang melakukan tindakan atau perbuatan yang melangkaui ekspektasi, luar biasa, bersifat mulia dan budiman dalam menyantuni masyarakat sekeliling. 

“Malah, ada yang bertindak ‘lebih berani’ mempertaruhkan keselamatan diri demi kepentingan masyarakat. 

“Saya percaya, semangat penugasan seumpama ini telah wujud serta menjadi budaya dalam kalangan warga Sang Saka Biru sejak sekian lama dan menjadi contoh untuk diteladani,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya