Pegawai polis boleh guna kenderaan peribadi untuk cegah jenayah - Utusan Malaysia

Pegawai polis boleh guna kenderaan peribadi untuk cegah jenayah

MOHD. Nazri Abdul Razak dibawa ke Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini bagi perbicaraan kes bunuh yang dihadapinya. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu mana-mana pegawai polis boleh menggunakan kenderaan peribadinya ketika menjalankan tugas cegah jenayah.

Saksi pendakwaan ke-33, Asisten Superintenden S. Dasarathan, 48, juga bersetuju dengan cadangan peguam bela, Datuk Mior Faridalathrash Wahid bahawa tiada sebarang peruntukan atau sekatan untuk menghalang seorang pegawai polis berbuat demikian.

Difahamkan, Deputi Superintenden Mohd. Nazri Abdul Razak, 46, yang didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Muhammad Zaharif Affendi Muhd. Zamrie, 17, sedang bercuti pada hari kejadian berlaku pada 15 Disember 2023.

Mohd. Nazri sebelum ini bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

Mior Faridalathrash: Setuju dengan saya bahawa tiada halangan atau sekatan dari sudut undang-undang jika pegawai kanan polis guna kenderaan peribadinya untuk menguatkuasakan undang-undang?
Dasarathan: Setuju.

Mior Faridalathrash: Setuju tak dengan saya tiada apa-apa arahan atau peruntukan atau Perintah Tetap Ketua Polis Negara atau ada arahan semasa yang menghalang seorang pegawai polis untuk menggunakan kenderaan sendiri semasa menguatkuasakan undang-undang?
Dasarathan: Setuju.

Mior Faridalathrash: Setuju tak dengan saya jika saya katakan tugas dan tanggungjawab seorang pegawai polis sebagai penguatkuasa undang-undang selesai apabila beliau menyempurnakan tugas dengan mengambil tindakan undang-undang sehingga pesalah trafik atau jenayah diambil tindakan?
Dasarathan: Setuju.

Mior Faridalathrash: Setuju tak dengan saya ada peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 225A Kanun Keseksaan yang mengatakan bahawa seorang penjawat awam yang meninggalkan daripada menangkap atau membiarkan (pesalah) adalah satu kesalahan, jika dia gagal mengambil tindakan?
Dasarathan: Setuju.

Pada prosiding sebelum ini, Pegawai Penyiasat Trafik dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Inspektor Jong Pit Chao memberitahu bahawa pegawai polis disifatkan bertugas pada setiap masa apabila dikehendaki.

Bagaimanapun Pit Chao menjelaskan, sekiranya berlaku kejadian jenayah di hadapan pegawai polis yang sedang bercuti, tindakan yang paling wajar diambil ialah menghubungi bilik gerakan IPD terdekat untuk segera menghantar kereta peronda ke lokasi kejadian.

“Jika keadaan ini berlaku dari segi kesalahan trafik, perkara yang lazim dilakukan adalah tahan pesalah dan keluarkan saman.

“Tapi saya dalam tempoh bercuti, jadi mesti tiada buku saman dan peralatan untuk saman. Tindakan yang boleh diambil ialah menghubungi balai polis terdekat untuk datang ke lokasi kejadian untuk keluarkan saman kepada pesalah tersebut,” ujarnya.

Pada 18 Disember 2023, Mohd. Nazri didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian seorang pelajar tingkatan lima di persimpangan Jalan Taman Jati 1/Jalan Pekeliling Meru Indah berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di dalam daerah Kinta antara pukul 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari, 15 Disember 2023.

Pertuduhan terhadap Mohd. Nazri dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan atau penjara sehingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya