PUTRAJAYA: Bermula 1 Februari ini, pegawai bomba akan menikmati cuti rehat lebih lama selepas tugasan syif menerusi pelaksanaan inisiatif Hari Rehat Mingguan (HRM).
Menerusi inisiatif itu, setiap pegawai bomba yang bertugas melalui sistem waktu bertugas syif 12 atau 24 jam akan menikmati HRM sebanyak 26 hari setahun.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, menerusi sistem syif baharu itu, setiap pegawai bomba yang bertugas selama lapan syif akan menikmati HRM selamat 60 jam atau dua hari setengah.
Beliau berkata, 60 jam itu membabitkan satu hari rehat, satu hari pelepasan Mingguan dan 12 jam rehat sebelum memasuki permulaan syif berikutnya.
“Mulai 1 Februari ini, kita telah menyusun semula sistem tugasan syif selaras mematuhi arahan atau pekeliling oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berdasarkan pelaksanaan Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
“Sistem syif baharu itu menggunakan pendekatan atau prinsip ‘Work More, With Less’,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perbarisan Tahunan JBPM 2025 di sini, hari ini.
Katanya, inisiatif itu telah diputuskan selepas libat urus dengan pelbagai pihak termasuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), JPA dan kesatuan pegawai bomba.
Nor Hisham berkata, inisiatif itu juga telah mengurangkan jumlah masa bekerja mingguan pegawai daripada 56 jam sebelum ini kepada 50 jam yang mana sebelum ini, anggotanya tidak berpeluang menikmati hari rehat mingguan.
Sementara itu, katanya, tahun 2024 menyaksikan pencapaian membanggakan terutama dalam pengurangan tempoh National Average Response Time (NART) bawah 10 minit di mana berlaku pertambahan nisbah 8:44 (2023) ke 8:48 (2024).
Selain itu, katanya, pihaknya juga berjaya mengurangkan nilai anggaran kerugian kepada RM1.56 billion iaitu pengurangan sebanyak 40.32 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Dari aspek penguatkuasaan undang-undang pula, pada tahun ini JBPM terus komited melaksanakan pemeriksaan menghapus bahaya kebakaran (MBK) dengan sebanyak 19,661 pemeriksaan dibuat iaitu peningkatan 12 peratus (2,090 pemeriksaan) melebihi sasaran 17,000 yang ditetapkan.
“Bagi tahun 2025, JBPM mensasarkan sebanyak 18,000 pemeriksaan akan dilaksanakan di seluruh negara,” katanya,” katanya. – UTUSAN