KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperkukuhkan kesiapsiagaan bagi memastikan keselamatan negara terus terjamin, seiring cabaran baharu selepas Malaysia secara rasmi mengambil alih Kepengerusian ASEAN tahun ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tanggungjawab besar itu menuntut PDRM untuk terus melengkapkan diri dengan pelbagai kompetensi kepolisan moden, khususnya dalam memastikan kelancaran program bertaraf antarabangsa yang akan berlangsung di negara ini.
“Sebagai penguatkuasa undang-undang, seluruh warga Sang Saka Biru perlu memperkukuhkan integriti, berdedikasi melaksanakan amanah, mematuhi peraturan, serta mengekalkan prinsip kesederhanaan dan istiqamah dalam kebaikan,” katanya menerusi perutusan Tahun Baharu semalam.
Menurut beliau, keupayaan PDRM diuji pada tahun lalu melalui pelbagai kes berprofil tinggi yang memerlukan kompetensi tinggi dalam aspek sumber manusia, logistik, teknologi dan tatakelola organisasi.
“Tahun 2024 adalah masa untuk kita (polis) menggandakan usaha dalam memastikan tahap keselamatan berada pada kedudukan terbaik, terutama apabila negara berada di tempat ke-10 dalam Indeks Keamanan Global (GPI) 2024 daripada 163 negara.
“Pencapaian tersebut bukan sahaja kebanggaan kita tetapi turut memberi keyakinan kepada pelabur asing, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” ujarnya.
Razarudin turut menegaskan perlunya usaha kolaborasi antara PDRM, kerajaan, agensi-agensi lain serta masyarakat bagi memenuhi aspirasi kerajaan yang menuntut perkhidmatan polis yang telus, cekap dan berimpak tinggi.
“Kerajaan sentiasa prihatin terhadap keperluan pasukan ini melalui pelbagai inisiatif seperti menaik taraf kediaman, memperkukuhkan logistik dan sumber manusia, serta penambahbaikan gaji penjawat awam bagi memastikan motivasi anggota sentiasa di tahap tertinggi,” jelasnya.
Beliau yakin pengalaman luas dan semangat taat setia warga PDRM akan terus menjadi tunjang kekuatan pasukan itu untuk mendepani cabaran baharu, terutamanya dengan lanskap keselamatan serantau yang semakin kompleks.
“Dengan kerjasama semua pihak, kita mampu memastikan keselamatan negara terus utuh dan kestabilan ASEAN dapat dikekalkan demi kesejahteraan rakyat Malaysia serta komuniti serantau,” katanya. – UTUSAN