PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengesan dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam pembunuhan melibatkan seorang pegawai polis berpangkat tinggi dan anaknya dalam sebuah serangan hendap di wilayah Narathiwat, Thailand.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya kini sedang berkongsi maklumat risikan dengan negara jiran bagi memastikan kelancaran operasi.
Jelasnya, anggota polis di sempadan juga diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga susulan laporan yang diterima pada 23 Januari lalu.
Difahamkan, suspek yang dikenal pasti sebagai Abdullah Samok, 30, dan Abdullah Bulat, 40, dipercayai telah melarikan diri ke negara ini atau bersembunyi di kawasan hutan sepanjang sempadan Malaysia-Thailand.
“Kami akan berkongsi maklumat risikan dengan rakan di seberang sempadan supaya kedua-dua suspek dapat dikesan sekiranya mereka benar-benar telah melintas masuk ke Malaysia.
“Selain itu, pasukan polis yang menjalankan rondaan di sempadan turut diarahkan untuk berjaga-jaga,” katanya.
Pada 14 Januari, Leftenan Kolonel Polis Suwit Chuaythewarit, 56, dan anaknya, Sarjan Mejar Polis Dome Chuaythewarit terbunuh dalam satu serangan hendap di Jalan Sri Sakhon-Chanae di Tambon Sri Banphot, daerah Sri Sakhon sekitar pukul 9.50 pagi.
Difahamkan, Mahkamah Wilayah Narathiwat telah mengeluarkan waran tangkap terhadap kedua-dua suspek pada 17 Januari.
Menurut jurucakap polis Thailand, kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan dipercayai sedang bersembunyi di kawasan hutan sepanjang sempadan Malaysia-Thailand. – UTUSAN