PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) beriltizam meningkatkan tahap akademik pegawai rendahnya apabila seramai 1,350 orang konstabel percubaan akan mengikuti Program Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) pada tahun ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, inisiatif tersebut melibatkan empat program diploma iaitu Diploma Pengurusan Kepolisan, Diploma Siasatan Kepolisan, Diploma Keselamatan Dalam Negeri dan Diploma Perisikan Keselamatan.
“Setiap daripada mereka perlu melengkapkan 90 jam kredit selama lima hingga tujuh tahun dengan tempoh pengajian 10 hingga 14 semester.
“Pengajian dimulakan dengan PLAK yang mengandungi 10 jam kredit diikuti latihan di lapangan untuk melengkapkan baki jam kredit yang diperlukan,” katanya pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara di Ibu Pejabat PDRM, Bukit Aman, hari ini.
Menurutnya, tenaga pengajar di Institusi Latihan PDRM diwajibkan memiliki sekurang-kurangnya Ijazah Sarjana Muda atau kelayakan yang lebih tinggi.
“Ini merupakan anjakan paradigma bagi memastikan program latihan lebih efisien ke arah melahirkan pegawai polis yang proaktif dalam melaksanakan tugas dan kewajipan,” katanya.
Dalam pada itu, kata belia, PDRM juga komited memastikan setiap warganya berpengetahuan, berdaya saing serta kompeten menghadapi cabaran melalui pemerkasaan latihan.
“PDRM menerusi kerjasama strategik bersama Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) telah berjaya melahirkan warga yang profesional dan berkredibiliti tinggi menerusi program pengajian berteraskan elemen kepolisan.
“Kolaborasi bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerusi Program Sarjana Sains Sosial diperkasakan melalui pengoptimuman impak keberhasilan program dengan penambahan bilangan peserta setiap kohort kepada 40 orang Pegawai Kanan Polis dan tempoh pengajian disingkatkan kepada 12 bulan sahaja,” katanya.
Selain itu, menurutnya, PDRM meneroka sinergi baharu bersama Universiti Malaya (UM) menerusi Program Sarjana Pengadilan Jenayah bermula Mac ini selama 18 bulan melibatkan seramai 30 peserta terdiri daripada 29 Pegawai Kanan dan seorang pesera dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM).-UTUSAN