PORT DICKSON: Setelah lebih empat tahun isu khemah dan kanopi biru di Pantai Telok Kemang di sini berlarutan, akhirnya hari ini ia digantikan dengan payung pantai ala ‘Bali’.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar berkata, kemudahan payung pantai yang lebih tersusun itu merupakan penyelesaian menang-menang yang diambil antara pihak Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dengan 33 pengusaha khemah biru sebelum ini.
Menurutnya, pihak MPPD telah memberikan sumbangan secara one-off iaitu sebanyak 270 unit payung pantai, 540 unit kerusi dan 270 meja kepada para peniaga dengan kos peruntukan berjumlah RM224,532.
“Kalau dulu, khemah biru lihat dari atas macam pasar malam, susunan sambung-sambung sampai ke hujung, memang tutup pemandangan pantai
“Kita ada 11 pantai peranginan, tiga pantai sahaja sebelum ni dipasang khemah biru iaitu pantai Telok Kemang, Pantai Cermin dan Pantai Tanjung Biru. Khemah biru ini ada antaranya sudah beroperasi 10 tahun lalu.
“Namun, kini, kita buat keputusan hanya di Pantai Telok Kemang sahaja akan dibenarkan pemasangan payung pantai yang akan diusahakan oleh 33 pengusaha yang sudah dilesenkan ini,” katany pada Majlis Penyerahan Payung Pantai di Pantai 3, Telok Kemang, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Arul berkata, bagi pelaksanaan sistem payung pantai yang baharu tersebut, terdapat tempoh percubaan selama enam bulan untuk melihat keberkesanan penyelesaian isu dan peluang untuk ditambah baik.
“Sebelum ini, dua isu utama yang dibangkitkan pengunjung adalah tiada tempat untuk beriadah di pantai kerana dipenuhi khemah biru dan keduanya khemah tersebut menutup pemandangan pantai.
“Kini, penyediaan 33 plot hanya menggunakan 600 meter daripada 1.2 kilometer Pantai Telok Kemang ini. 600 meter lagi masih kosong dan boleh digunakan pengunjung untuk beriadah,” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua MPPD, Hasnor Abd. Hamid berkata, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Telok Kemang bersetuju menjadi penganjur bagi pelaksanaan kaedah baharu ini.
“Menurutnya, hanya pengusaha sahaja dibenarkan untuk memasang payung di pantai dan pengunjung tidak dibenarkan sama sekali untuk berbuat demikian.
“Kadar harga pula ditetapkan tidak melebihi RM50 bagi kemudahan tersebut, bagaimanapun terpulang kepada pengusaha untuk mengenakan jumlah bayaran yang bersesuaian selagi tidak melebihi had ditetapkan,” katanya. – UTUSAN