KUALA LUMPUR: Pendatang asing tanpa izin (PATI) kini bukan sahaja menjadi penjaga gerai, terdapat sebahagiannya dipercayai bertindak sebagai pemilik perniagaan atau ‘tauke’ di Jalan Petaling, Kuala Lumpur.
Tinjauan Utusan Malaysia ketika mengikuti serbuan bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur pada pukul 6 petang itu mendapati suasana kecoh apabila PATI yang berada di kawasan itu bertempiaran lari untuk mengelak daripada ditahan sebaik sahaja operasi dimulakan.
Pengarah JIM Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, pihaknya menerima aduan daripada peniaga tempatan mengenai persaingan tidak sihat apabila segelintir PATI didakwa cuba memonopoli perniagaan di kawasan tersebut.
Menurutnya, PATI berkenaan kononnya mengaku hanya bekerja sebagai penjaga gerai tetapi siasatan mendapati mereka telah menguasai beberapa perniagaan di kawasan tersebut.
“Bertindak atas maklumat dan risikan yang diterima, JIM Kuala Lumpur menerusi pasukan khas ‘KL Strike Force’ telah melakukan serbuan di Jalan Petaling petang tadi,” katanya ketika sidang akhbar selepas operasi tersebut, hari ini.
Beliau turut mendedahkan modus operandi segelintir PATI yang berniaga secara ‘ali baba’ dengan berpura-pura sebagai pekerja, selain ada yang bekerja secara bergilir-gilir dan sambilan.
“Warga asing tidak dibenarkan memiliki atau mengendalikan perniagaan sendiri di negara ini. Perbuatan itu jelas melanggar undang-undang,” katanya.
Menurutnya, dalam serbuan selama sejam itu, seramai 77 warga asing telah diperiksa dan 34 daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk tidak mempunyai dokumen sah, menyalahgunakan pas kerja, dan tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.
“Antara yang ditahan ialah 26 warga Bangladesh, empat warga Myanmar, dua warga Pakistan serta masing-masing seorang warga Mauritius dan Nepal,” katanya.
Tambahnya, empat pemilik premis perniagaan tempatan yang menggaji PATI tanpa dokumen sah telah diarahkan hadir ke pejabat JIM Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut.
Wan Mohammed Saupee menegaskan, pihaknya akan terus memantau aktiviti PATI di kawasan pelancongan tersebut bagi memastikan undang-undang dipatuhi dan tidak berlaku penyalahgunaan kuasa dalam kalangan peniaga tempatan serta warga asing. – UTUSAN