LENGGONG: Status Lenggong di Perak yang mempunyai pengiktirafan Organisasi Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) akan dikekalkan sebaik mungkin.
Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, status Tapak Warisan Dunia yang diberikan kepada Lenggong pada tahun 2012 akan disemak oleh UNESCO selang beberapa tahun untuk memastikan segala kriteria dipenuhi bagi mengekalkan pengiktirafan tersebut.
“Saya yakin Kerajaan Negeri dan pentadbir akan pastikan supaya status itu kekal,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan bot pondok polis Kampung Beng dan penyerahan kunci kuaters Balai Polis Lenggong di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita berkenaan dakwaan status tersebut terancam berikutan pelbagai aktiviti yang dijalankan.
Selain Lembah Lenggong, empat lagi tempat di Malaysia yang mendapat pengiktirafan sama ialah Taman Negara Mulu di Sarawak, Taman Negara Kinabalu di Sabah, Bandaraya Melaka dan Georgetown, Pulau Pinang.
Shamsul Anuar berkata, lokasi sejarah itu juga dalam perancangan mendapatkan status UNESCO Global Geopark dan keputusan berhubung hal tersebut dijangka diketahui menjelang tahun depan.
“Kita dah buat mesyuarat terakhir pada minggu lepas. Ketika ini kita sedang menunggu penilaian oleh Jawatankuasa UNESCO Global Geopark yang akan datang ke sini,” katanya.
Jelasnya, bahan-bahan serta dokumen telah dilengkapkan dan beliau optimis terhadap peluang tersebut kerana Lenggong memenuhi kriteria mempunyai tempat-tempat bertaraf antarabangsa.
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam sebelum ini melahirkan kesungguhan untuk mengangkat Sarawak Delta Geopark di Sarawak serta Lenggong Geopark di Perak sebagai UNESCO Global Geopark dalam tempoh terdekat. – UTUSAN