KOTA BHARU: Sepasang suami isteri warga Myanmar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mengabaikan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 bulan sehingga mengakibatkan kematiannya, Disember tahun lalu.
Munna Abdu Salam, 34, dan Fatima Abul Hashim,18, mengangguk faham terhadap pertuduhan itu selepas dibacakan secara bersama oleh jurubahasa Myanmar di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh sebagai orang yang mempunyai hak pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki itu, menganiayai mangsa sehingga menyebabkan kematiannya di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai, lebih kurang pukul 10 malam pada 17 Disember tahun lalu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 34 akta yang sama dengan memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Ahmad Faiz Fitri tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kedua-dua tertuduh memandangkan kesalahan yang dilakukan mereka adalah serius di samping dia tidak memiliki dokumen pengenalan diri.
Mahkamah tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin selain perlu melantik peguam dan menetapkan 10 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen. – UTUSAN