JOHOR BAHRU: Pasangan suami isteri yang juga pemilik syarikat pengendali Umrah, iaitu Hejira Travel & Tour Holdings Sdn. Bhd. telah ditahan polis, kelmarin.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, tangkapan terhadap pasangan suami isteri warga tempatan yang berusia 32 tahun itu dibuat setelah mereka dilepaskan dengan jaminan polis Selangor.
Katanya, tangkapan dibuat ekoran sembilan laporan polis diterima melibatkan penipuan pakej umrah dengan kerugian sebanyak RM174,080.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat serta boleh dikenakan denda.
“Kedua-dua suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis, manakala kertas siasatan sedang dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Kumar, pihaknya menasihatkan orang awam agar membuat semakan terhadap mana-mana syarikat pengendali umrah untuk memastikan mereka mempunyai rekod pengendalian yang baik.
Media sebelum ini melaporkan seramai lapan individu termasuk pasangan suami isteri terlibat yang berusia antara 24 hingga 46 tahun direman polis Selangor bagi membantu siasatan kes penipuan membabitkan kerugian RM2.1 juta.
Penahanan kesemua suspek dibuat setelah pihak polis menerima tujuh laporan awal mengenai penipuan pakej umrah yang diiklankan melalui aplikasi TikTok dan ejen syarikat. – UTUSAN