JOHOR BAHRU: Pasangan ‘kekasih gelap’ berdepan hukuman gantung apabila didakwa di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas enam pertuduhan termasuk mengedar dan memiliki dadah, bulan lalu.
Bagaimanapun, Noor Haimi Ayhari, 49, dan teman wanitanya, Nur Anne Mohd. Hussin, 38, warga Singapura mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan itu.
Di hadapan Majistret A. Shaarmini, pasangan itu didakwa dengan dua pertuduhan mengedar 62 gram methamphetamine dan 39.4 gram kanabis di sebuah apartmen di Persiaran Aliff Harmoni Utama, Taman Damansara Aliff, di sini pada pukul 4.15 pagi, 31 Disember lalu.
Di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin pula, mereka didakwa mengedar 510 gram ganja di sebuah rumah di Jalan Larkin Perdana, di sini pada pukul 6.20 pagi, hari yang sama.
Pasangan itu didakwa di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Di hadapan Majistret R. Salini pula, pasangan tersebut turut mengaku tidak bersalah bagi tiga pertuduhan memiliki 3.8 gram heroin, 4.1 gram serbuk ekstasi dan 14 gram bahan psikotropik, iaitu nitrazepan di apartmen di Taman Damansara Aliff itu, pada pukul 4.15 pagi, 31 Disember lalu.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952 serta Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Nur Anne turut menghadapi satu lagi pertuduhan, iaitu dengan sengaja menghalang penjawat awam yang juga dua anggota polis di tepi jalan Persiaran Aliff Harmoni, Taman Damansara Aliff di sini, pada pukul 1 pagi, pada hari yang sama.
Dia didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kesemua kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 23 Februari dan 10 Mac depan bagi serahan dokumen dan laporan kimia.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Noratini Nik Azman, Nor Afiqah Musa dan Siti Aishah Latif, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela. – UTUSAN