Pasangan kekasih ditangkap, sembunyi kelahiran, sebabkan kematian bayi

Pasangan kekasih ditangkap, sembunyi kelahiran, sebabkan kematian bayi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Sepasang kekasih ditahan di dua lokasi berasingan di daerah ini malam semalam selepas dipercayai menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian kepada seorang bayi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Maslan Udin berkata, kira-kira pukul 11.13 pagi semalam, pihaknya menerima panggilan kecemasan dari Hospital Port Dickson berkenaan maklumat seorang pesakit perempuan telah melahirkan anak tetapi bayi tersebut gagal dikesan.

Menurutnya, siasatan lanjut yang dijalankan oleh pihaknya telah menemukan bayi tersebut yang disembunyikan di dalam sebuah beg di dalam bilik di sebuah rumah di Taman Intan Perdana, Telok Kemang di sini.

“Pemeriksaan lanjut telah dilakukan ke atas bayi perempuan yang sudah cukup sifat, namun telah disahkan mati dan terdapat kesan kecederaan pada bahagian dada disyaki kesan objek tajam.

“Sehubungan itu, tangkapan dibuat oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan Siasatan Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan bersama Bahagian Siasatan Jenayah IPD dari pukul 9.30 malam hingga 9.45 malam,” katanya kepada pemberita hari ini.

Ujar Maslan lagi, dua suspek yang ditahan itu ialah seorang remaja perempuan berusia 18 tahun yang bekerja di sebuah restoran dan seorang lelaki berumur 21 tahun yang merupakan penganggur.

Kedua-duanya tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

Menurut beliau, turut dirampas dalam tangkapan itu adalah uri, pakaian, senjata berupa pisau dan telefon bimbit bagi siasatan lanjut.

“Berdasarkan siasatan awal, motif kejadian adalah disebabkan rasa bimbang dan takut dengan keluarga. Kedua-dua suspek ini akan dibawa ke Mahkamah Majistret Port Dickson pagi ini untuk proses permohonan reman,” katanya.

Menurutnya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya