JOHOR BAHRU: Pasangan kekasih ditahan selepas disyaki mengedar dadah bernilai RM2.41 juta, Sabtu lalu.
Pasangan berusia 33 dan 31 tahun yang dipercayai mengedar dadah sejak Oktober tahun lalu itu, dicekup apabila pihak polis menemukan dadah berkenaan dalam kereta Toyota Vios dinaiki mereka di Mutiara Rini, di sini pada pukul 12.30 tengah malam.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, dadah dirampas adalah 14.40 kilogram serbuk ekstasi; 24.58 gram ketamin; 2.75 gram syabu dan 19.48 gram pil ekstasi, menjadikan keseluruhan dadah seberat 14.448 kg.
“Pasangan tersebut dipercayai sedang dalam perjalanan untuk mengedar dadah berkenaan. Modus operandi digunakan adalah membeli dadah secara pukal sebelum membungkus semula mengikuti permintaan pasaran, kesemua dadah berkenaan disimpan di dalam tempat penyimpanan kenderaan yang dijadikan stor.
“Mereka turut menjual dadah di kawasan yang dikenal pasti dengan pembelinya terdiri daripada pelanggan sedia ada,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan.
Kumar berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan pasangan itu juga positif dadah jenis ketamin dan benzo.
“Selain rampasan dadah, polis turut menyita barang kemas bernilai RM15,573 dan wang tunai RM284. Nilai rampasan keseluruhan dadah dan barangan sitaan adalah RM2.42 juta,” katanya.
Pasangan itu kini ditahan reman selama tujuh hari hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kumar memberitahu, pihaknya menahan seramai 25,065 individu atas pelbagai kesalahan melibatkan penyalahgunaan dadah dan membuat rampasan sebanyak 7.3 tan dadah bernilai RM99.76 juta sepanjang tahun lalu.
“Daripada jumlah itu, 99 orang dikenal pasti sebagai ahli kumpulan sindiket jenayah,” katanya. – UTUSAN